PETALING JAYA: Penurunan prestasi pasangan beregu campuran badminton negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei membimbangkan selepas kecundang dalam tiga kejohanan yang disertai bermula di Terbuka Malaysia, awal bulan ini.
Mereka yang baru setahun digandingkan itu turut rebah pada Terbuka India serta Indonesia Masters sebelum menyertai Thailand Masters di Bangkok.
Jurulatih beregu campuran Malaysia, Nova Widianto berkata, Tang Jie dan Ee Wei perlu mengubah situasi buruk yang melanda mereka ketika ini dan kembali mendapatkan rentak kemenangan di Bangkok.
“Saya memang tidak berpuas hati dengan keputusan yang mereka catat pada tiga kejohanan yang mereka sertai tahun ini, sasaran kita ialah untuk berada dalam kelompok lapan terbaik dunia.
“Saya mahu mereka meraih mata yang banyak dalam setiap kejohanan yang disertai, tetapi, berdasarkan prestasi sesama sukar untuk mereka meloloskan diri ke kedudukan lima atau lapan terbaik,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurut Nova, beliau perlu realistik untuk penampilan Tang Jie-Ee Wei pada Thailand Masters, apa yang diharapkannya ialah mereka mampu melangkah jauh dan sekali gus, menambah kutipan mata.
Jelasnya, beregu muda itu perlu melipat gandakan usaha kerana pencabar mereka sudah mula dapat membaca corak permainan Tang Jie-Ee Wei.
“Selepas ini, mereka akan sertai jelajah ke Eropah pula, jadi, Tang Jie-Ee Wei perlu persiapkan diri kerana kalau boleh saya mahu mereka sentiasa diletakkan sebagai beregu pilihan dalam kejohanan yang disertai terutama pada All England, Mac depan,” ujarnya.
Pengendali berasal dari Indonesia itu memberitahu, amat penting untuk pasangan negara tersebut berada dalam kelompok lapan terbaik kerana sekurang-kurangnya mereka tidak perlu berdepan lawan yang kuat seawal pusingan pertama.
Tang Jie-Ee Wei yang diletakkan sebagai pilihan kedua pada Thailand Masters bakal berdepan beregu Australia, Kenneth Choo-Gronya Somerville dalam pusingan pertama, hari ini. – UTUSAN










