Tak mahu kenang perkara lepas - Utusan Malaysia

Tak mahu kenang perkara lepas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN niat puji melambung, tetapi saya kagum dengan sikap selebriti ini yang ketika namanya meniti populariti dengan kesibukan memenuhi undangan wawancara dan pengacaraan, Tyzo lunaskan permintaan diwawancara Pancaindera. 

Malah, ketika dipelawa bagi sesi fotografi di Angkasapuri Khamis lalu, penyampai radio paling popular ini komited meluangkan masa, bersiap awal agar sesi tersebut berjalan lancar. 

Sempat berbual pendek, banyak perkara dikongsikan pemilik nama sebenar Tuah Zulqarnain ini lebih-lebih lagi tentang keadaannya sekarang yang sudahpun berdamai dengan takdir selepas ditamatkan perkhidmatan sebagai penyampai Suria FM. 

Hakikatnya sekarang Tyzo sudah move on. Tidak lagi menoleh kebelakangan ataupun menyimpan dendam dan amarah atas apa yang menimpa dirinya. 

“Saya dah lama okey. Kekecewaan yang saya pendam hampir dua minggu sudahpun saya luahkan. Syukur kerana Tuhan berikan ketenangan. Saya tak lagi marah, tak juga berdendam. Memaafkan atau melupakan, itu saya tak pasti. Yang penting saya tak mahu kenang perkara yang lepas. 

“Saya bersyukur kerana hadir hamba Allah yang sudi pelawa saya mengerjakan umrah pada 21 Januari lepas. Di sana saya minta pada Allah, permudahkan segalanya kalau masih ada rezeki untuk saya dalam bidang ini serta mudahkan untuk saya lupakan apa yang berlaku. 

“Alhamdulillah, doa saya Allah makbulkan. Allah kurniakan rezeki tak disangka-sangka, hadirkan insan-insan hebat yang prihatin dengan nasib saya. Sepenuhnya hidup saya berubah dan saya tak sangka pengakhiran yang baik seperti ini,” katanya. 

Kata Tyzo, dia kurang pasti mana datangnya kekuatan itu. Namun dia percaya dengan perancangan Tuhan yang padanya,terbaik. 

“Mungkin semangat itu datang selepas saya lepaskan dan luahkan semua yang saya pendam, isi hati saya. Dan bila  fikir semula, ketentuan Allah itu terbaik. Saya keluar Suria FM ketika orang masih menerima kerja saya. 

“Ada baiknya juga saya tinggalkan Suria FM sekarang, berbanding ketika orang tidak lagi menerima kehadiran saya. 

“Saya melihat situasi ini pada sudut berbeza. Sebelum ini saya harapkan perkara lain. Tapi Allah beri yang lain, yang lebih baik untuk saya,” kongsinya lagi.

KALAU ARWAH IBU MASIH ADA

PEMERGIAN ibunya, Hasnah Shaari pada tahun 2022 adalah kehilangan besar buat selebriti ini. 

Arwah ialah pendorong utama yang ketika hayatnya menjadi sumber kekuatan kepada Tyzo. 

Namun, pesan dan peninggalan arwah sentiasa menjadi penguat semangatnya lebih-lebih lagi dalam berdepan hidup yang mencabar. 

“Ibu saya semasa hayatnya tak pernah campuri urusan kerja saya. Tapi saya tak nafikan, dahulu dialah pendorong dan sumber kekuatan saya. 

“Saya dibesarkan oleh ibu dan ayah yang juga warga pendidik. Mak ayah ajar saya sentiasa buat baik, tetapi jangan sampai kepala kita dipijak-pijak. Sampai sekarang saya pegang pesanan itu. Satu yang saya nak katakan, kadangkala kita dihadirkan ke dunia ini untuk mengajar dan menyedarkan orang yang menyakiti kita. 

“Ada manusia, sepanjang hidupnya tak ada rasa malu dan bersalah kerana menyakiti orang lain. Jadi, dia perlu dimalukan supaya dia sedar dan kenal erti kehidupan. 

“Mungkin saya bukan cikgu seperti mak dan ayah saya, tapi saya percaya kewujudan saya untuk ajar erti malu, beri kesedaran kepada orang yang menyakiti saya,” katanya dalam hiba.

AWET MUDA

TYZO menerima pujian kerana berjaya mengekalkan keremajaan pada usia 48 tahun. Saya minta dia kongsikan tips untuk kelihatan muda yang mungkin boleh dimanfaatkan masyarakat. 

“Sejak lebih 10 tahun lepas, saya amalkan memakan buah tunjuk langit dan lebih satu dekad menghasilkan produk berasaskan bahan tersebut. Tapi saya tak rancak promosikan produk tersebut. 

“Selain itu, satu amalan yang pada saya berkesan untuk membuatkan kita kelihatan muda adalah kurangkan pengambilan nasi dalam pemakanan harian kita. Ini amalan saya sejak dibangku sekolah. Saya kaji dan buat pemerhatian, kawan-kawan saya yang kurang makan nasi juga ramai yang nampak muda. 

“Dan mungkin, hati kena sentiasa bersih. Jangan aniaya orang. Itu prinsip yang saya pegang. Jangan kita mudah menghakimi orang lain,” jelasnya.

LANGKAH KE DEPAN

IBARAT pelangi selepas hujan, banyak perkara yang baik-baik berlaku kepada Tyzo selepas tidak lagi bersama stesen radio berkenaan.

Penyampai radio yang berusia lingkungan 40-an ini terus memandang ke depan, langsung tidak menoleh ke belakang, memanfaatkan segala ruang dan peluang diberikan untuknya. 

“Saya bersyukur kerana Tuhan masih lorongkan rezeki untuk saya dalam bidang ini. Alhamdulillah, orang masih percaya bakat saya. Baru-baru ini saya diberi peluang mengacarakan KNKV Viral Award 2024. Sambutannya memberangsangkan. 

“Pada masa sama, bermula Mac depan saya akan mengacarakan program Radar Skrin yang bersiaran pukul 11 pagi setiap Ahad di Radio Televisyen Malaysia (RTM). 

“Selain itu, saya juga sedang rancak menggerakkan radio podcast di TikTok saya. Beberapa program sudah saya mulakan antaranya Karok 10 Ringgit dan slot Tyzo Cintah, Lebih Manjah yang bersiaran pukul 10 setiap malam Jumaat,” kongsinya teruja. 

Ditanya tentang hala tuju sebagai penyampai radio selepas ini, Tyzo menyatakan dia belum memuktamadkan sebarang keputusan. 

“Tentang tawaran menjadi penyampai, saya masih berbincang dengan beberapa stesen radio antaranya Hot FM, Kool FM, RTM dan IKIM. 

“Belum ada keputusan yang saya buat setakat ini kerana saya sedang pertimbangkan dan membuat perbincangan. Saya hanya mengharapkan yang terbaik. 

“Apa pun, perkembangan tentang itu akan saya maklumkan Mac ini, sesudah kontrak saya bersama Suria FM tamat secara rasminya,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya