KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aisha Retno menafikan setegas-tegasnya dakwaan kononnya dia mengambil barang terlarang untuk tampil lebih kurus di pentas Anuegrah Juara Lagu (AJL) ke-38 Mac depan.
Jelas Aisha, berat badannya menurun sehingga wajahnya kelihatan cengkung kerana selera makannya berkurangan selepas mula memakai pendakap gigi beberapa bulan lalu.
“Tak ada ambil apa-apa yang terlarang pun. Saya sihat dan okey sahaja. Kurus ini mungkin sebab sekarang saya memang kurang makan. Tak ada selera sangat.
“Ramai juga yang tanya kenapa saya semakin cengkung dan kurus. Sampai ada yang cakap saya ambil barang terlarang untuk kurus. Tidak ya, semua sebab pendakap gigi,” ujarnya.
Dalam pada itu, kali pertama menjejakkan di pentas AJL menerusi lagu Sutera, penyanyi berusia 23 tahun itu bakal ‘menggegarkan’ persembahan dengan kehadiran 30 penari di samping beberapa kejutan lain.
“Tak bolehlah ceritakan semua, tak jadi kejutan. Tetapi saya memang akan bawa 30 penari dan beberapa elemen kejutan di atas pentas.
“Sebenarnya saya sendiri takut dengan gimik yang bakal dipersembahkan kelak. Tertekan itu semestinya sebab ini kali pertama saya bertanding di pentas AJL yang berprestij,” ujarnya.










