Surat derma Arab dibuat atas arahan Jho Low

Surat derma Arab dibuat atas arahan Jho Low

JHO LOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bagi `mendiamkan’ pertanyaan-pertanyaan yang timbul berhubung wang yang dimasukkan ke akaun peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho mengarahkan salah seorang `sekutunya’ untuk membuat surat mengatakan wang terbabit adalah derma Arab. 

Menurut bekas Penasihat Undang-Undang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan, arahan tersebut diberikan Jho Low kepada Kee Kok Thiam. 

“Di antara tahun 2013 ke 2014, Jho Low ada memberitahu saya bahawa terdapat satu private bank account di Ambank bagi DS Najib Razak yang dibuka untuk menerima derma daripada Arab Saudi. Pada awal 2015 ketika saya berada di London, saya diminta oleh Jho Low untuk berjumpa dengannya di bilik Business Centre di Hotel Mayfair.

“Ketika saya tiba di bilik itu, saya ternampak Kee Kok Thiam, Datuk Shamsul daripada Ihsan Perdana Sdn. Bhd. dan Dennis See juga berada di situ. Ketika itu Datuk Shamsul sedang bertanyakan kepada Jho Low apa jalan penyelesaian berkaitan isu wang yang diterima dalam akaun Datuk Seri Najib Razak yang dikatakan daripada Putrajaya Perdana dan SRC. 

“Selepas itu, Jho Low telah mengarahkan Kee Kok Thiam untuk menyediakan satu surat pengesahan daripada Prince Saud untuk menyatakan wang-wang yang dimasukkan ke dalam akaun DS Najib Razak tersebut adalah derma daripada Arab Saudi. 

“Selepas itu, saya telah keluar sekejap dengan Jho Low untuk membuat perbincangan tentang perkara lain, namun apabila saya masuk semula ke bilik Business Centre yang sama, saya melihat Kee Kok Thiam sedang menyiapkan deraf surat derma daripada Prince Saud,”kata Jasmine.

Beliau turut mengesahkan surat derma bertarikh 1 Jun 2014 ketika ditunjukkan kepadanya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

“Saya sahkan pernah melihat deraf surat ini di skrin komputer di Business Centre di Hotel Mayfair, London pada awal tahun 2015. Surat yang disediakan oleh Kee Kok Thiam pada ketika itu adalah berkaitan dengan derma daripada Prince Saud Abdulaziz AlSaud kepada DS Najib Razak. Nilai derma pada ketika itu saya tidak pasti. 

“Saya lihat pada ketika itu deraf tersebut tidak mempunyai tandatangan lagi dan tidak pasti bila surat tersebut dihantar kepada Datuk Seri Najib Razak. Oleh itu, saya percaya tarikh yang tertera pada surat ini adalah ‘backdated’,”kata saksi pendakwaan ke-50 itu.

Beliau bagaimanapun tidak mengetahui mengenai surat-surat derma Arab selain yang bertarikh 1 Jun 2014 itu.

Kee Kok Thiam telah ditahan SPRM pada 3 Mei 2023 selepas pesawat yang membawanya dari Macau mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Lelaki berusia 51 tahun itu dihantar pulang dari Macau kerana tinggal di wilayah itu melebihi tempoh visa.

Lelaki terbabit bagaimanapun meninggal dunia akibat strok pada 29 Mei 2023 ketika siasatan SPRM terhadap lelaki itu masih lagi berjalan.

Media ketika itu turut melaporkan bahawa Kok Thiam mengesahkan dia bertemu Jho Low dan beberapa suspek 1MDB yang lain, termasuk Eric Tan Kim Loong, Casey Tang Keng Chee, Geh Choh Heng dan Nik Faisal di Macau.

Kata Kok Thiam, Jho Low juga berpesan kepada Kok Thiam supaya ‘tidak pulang ke Malaysia’ sebagai saksi dalam kes 1MDB.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Jumaat ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN