BAGI menjawab punca sebenar lelaki mengubah ‘selera’ selepas berkahwin, Kaunselor Perkahwinan dan Keluarga, Hushim Salleh berkata, masalah itu berkait rapat dengan sejarah lampau individu.
Katanya, kebanyakan golongan itu dikenal pasti pernah terlibat dalam kes gangguan seksual dengan kaum sejenis ketika kanak-kanak atau di zaman persekolahan.
Situasi itu akhirnya mendorong kepada ketagihan seks hingga dewasa.
“Lima tahun pertama perkahwinan, mungkin si suami tidak rasa perbezaan dalam hubungan seks dengan isteri, tetapi lama-kelamaan, dia mula ‘tidak puas’ lalu mendorongnya kembali ke zaman lampau kerana rindukan rasa ‘sedap’.
“Rasa ‘sedap’ itu tidak mampu diberikan isteri dan hanya boleh dinikmati dengan pasangan lelaki sahaja,” katanya.
Mengulas lanjut, Hushim berkata, sentuhan lelaki lebih mengghairahkan suami kerana teknik yang pelbagai dan berani.
“Bayangkan, seorang suami dalam kes yang saya uruskan tanpa segan silu mengaku persembahan pasangan sejenisnya jauh berkali ganda hebat berbanding isteri.
“Mukadimah pun katanya sudah sedap, dengan pelbagai teknik yang dipanggil cuci kawah, cuci karpet, cuci limau nipis dan lain-lain lagi,” katanya.
Justeru, tidak hairanlah apabila golongan itu sanggup bercerai walaupun segelintirnya memiliki isteri jelita dan anak-anak comel di samping tidak dibelenggu masalah kewangan.
Dalam perkembangan sama, kata Hushim, segelintir wanita mudah tergoda dengan sikap romantis dan penyayang lelaki gay hingga sanggup berkahwin sedangkan ikatan suci tersebut hanya dijadikan sebagai alat untuk menutup sisi gelap mereka.
URUS 50 KES SUAMI GAY SETAHUN
Isu suami bernafsu songsang makin meruncing dalam masyarakat dengan tahun lalu lebih 50 kes berkenaan diuruskan Hushim.
Katanya, kebanyakan isteri tahu belang suami yang terang-terangan memiliki kekasih sejenis termasuk dibela bos dengan ‘gaji’ mencecah puluhan ribu ringgit sebulan.
“Tetapi suami enggan bercerai demi menutup aktiviti tidak bermoralnya, justeru isteri perlu segera ke mahkamah untuk menuntut fasakh,” katanya.
Menurut Hushim, salah hukumnya jika isteri melengah-lengahkan perkara itu atau sanggup membiarkan diri terus berada dalam institusi perkahwinan.
Tegasnya, keadaan itu bakal memberi kesan buruk kepada kesihatan isteri termasuk jangkitan penyakit kelamin atau HIV.
“Melainkan jika suami berjanji untuk berhenti daripada melakukan perbuatan tidak bermoral itu, maka bolehlah isteri terus mempertahankan mahligai dibina,” katanya.
CETUS KEMURUNGAN, BUNUH DIRI
Kehadiran orang ketiga boleh mengeruhkan perkahwinan dan mengikis rasa sayang serta hormat terhadap pasangan.
Apatah lagi jika insan itu adalah kekasih sejenis suami atau isteri sekali gus meningkatkan lagi risiko untuk seseorang mengalami tekanan dan masalah kesihatan mental.
Penolong Setiausaha Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr. Noor Melisa Nor Hadi berkata, pasangan yang dicurangi cenderung menyalahkan diri, malu, terhina, rendah diri, tersepit, membenci diri, putus harapan, trauma untuk meneruskan perhubungan atau menjalin hubungan baru dan hilang perasaan untuk hidup.
Katanya, bagi pasangan yang curang pula, mereka akan tersepit di antara keadaan dan keinginan, perasaan bersalah, membenci diri, malu dan tertekan kerana melakukan sesuatu yang menyakiti pasangan serta bertentangan dengan nilai agama dan masyarakat.
“Sekiranya berlarutan, sama ada pasangan yang curang atau dicurangi, kedua-duanya berisiko mendapat masalah kesihatan mental seperti kemurungan, anxiety dan bunuh diri.
“Lebih-lebih lagi jika mereka sudah mengalami tekanan akibat perceraian, tiada sistem sokongan atau tempat meluahkan perasaan dan masalah kewangan,” katanya.
Sehubungan itu, Noor Melisa menyarankan pasangan terlibat agar mendapatkan bantuan kaunseling, khidmat rawatan daripada hospital, nasihat keluarga dan rakan-rakan di samping sokongan agensi seperti Befrienders dan guaman.










