PETALING JAYA: Beberapa kali berdepan dakwaan sudah mula besar kepala sehingga sukar didekati orang ramai, penyanyi muda, Saixse akhirnya tampil menafikan tanggapan negatif tersebut.
Penyanyi itu menjelaskan, sikap ‘somobong’ yang dilihat dari mata kasar segelintir pihak itu sebenarnya berpunca daripada peribadi ‘introvert’ dan gemuruh setiap kali berhadapan dengan khalayak.
“Mungkin orang tak faham dan wujudkan persepsi sendiri. Tidak dinafikan, saya ini cepat rasa gemuruh apabila dikerumuni atau didekati orang ramai. Kadang-kadang stage fright bila buat persembahan.
“Bukan sombong atau besar kepala, cuma saya ini introvert sebenarnya. Mungkin saya masih belum biasa dengan perhatian yang diraih sekarang. Tetapi dalam pada masa sama, saya bersyukur.
“Lagu saya tular di aplikasi sosial media, peminat mula menerima dan mendengar lagu saya. Itu sudah membuatkan saya gembira dan bersyukur sangat,” ujar penyanyi yang popular dengan lagu Malampagi itu.
Dalam pada itu, penyanyi berusia 21 tahun itu juga sedar dia perlu memanfaatkan pengaruh dan populariti yang diraih untuk menyebarkan kebaikan kepada orang ramai terutama anak muda.
“Bila kita ada pengaruh dan mula dikenali, sedikit sebanyak kita boleh bantu orang. Mungkin bukan dari sudut kewangan tetapi sokongan dan motivasi. Saya suka bila ada yang membuka cerita tentang hidup mereka
“Cara saya berfikir dan kematangan saya juga semakin berbeza. Itu yang membuatkan saya melihat sesuatu itu dari sudut pandang berbeza,” ujarnya yang bakal melancarkan lagu baharu tidak lama lagi.-UTUSAN










