Sindiket penipuan berselindung guna nama pusat beli belah popular - Utusan Malaysia

Sindiket penipuan berselindung guna nama pusat beli belah popular

MUHAMMAD Abdul Halim (kanan) menunjukkan antara minyak wangi berjenama tiruan yang dirampas dalam Ops Merpati dijalankan di sebuah premis sekitar Sekinchan, Selangor, pada Rabu lalu. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Tindakan sindiket yang berselindung disebalik nama pusat membeli belah terkemuka bagi melakukan kegiatan penipuan dalam talian terbongkar selepas polis menyerbu sebuah premis sekitar Sekinchan, Selangor, pada Rabu lalu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, pada 23 Januari lalu, pihaknya menerima laporan daripada seorang mangsa lelaki tempatan berusia sekitar 40-an mendakwa telah ditipu sindiket dalam talian menerusi pembelian minyak wangi berjenama.

Muhammad berkata, pengadu berkenaan dikatakan membuat pembelian menerusi laman Facebook didalangi sindiket yang menggunakan nama Suria KLCC Mall dan menawarkan diskaun 66 peratus daripada harga sebenar produk tersebut.

“Mangsa kemudiannya menerima panggilan telefon daripada syarikat kurier pada 17 Januari lalu bagi penghantaran barangan menggunakan kaedah COD (cash on delivery) ke alamatnya.

“Setelah membuat bayaran kepada syarikat kurier berkenaan, mangsa mendapati minyak wangi diterima adalah tiruan dan kemudiannya terus ke Balai Polis Kangar bagi membuat laporan,” katanya dalam sidang akhbar, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata, susulan itu, Bahagian Siasatan dan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kotinjen (IPK) Perlis telah merancang Ops Merpati pada Rabu lalu di sebuah premis sekitar Sekinchan yang dipercayai berkaitan dengan sindiket tersebut.

Katanya, pihaknya juga telah melakukan pelbagai rampasan barangan jenama tiruan seperti minyak wangi, jam tangan, komputer riba, beg tangan dan beberapa lagi dianggarkan bernilai RM214,051.

“Seorang lelaki tempatan berusia 50-an turut ditahan sewaktu operasi tersebut dan telah direman sehingga 5 Februari bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad berkata, pihaknya juga turut menahan seorang wanita warga Vietnam yang merupakan isteri kepada suspek pertama pada hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Beliau berkata, polis dalam usaha bagi mengesan dalang sindiket itu yang dipercayai terdiri daripada warga asing malah laman Facebook digunakan pihak terlibat juga didapati telah ditutup.

“Kita telah memohon reman terhadap suspek kedua berkenaan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan malah pihak Suria KLCC sebelum ini turut mengeluarkan kenyataan penafian berhubung penjualan barangan secara dalam talian yang menggunakan akaun Facebook mereka,” katanya.

Tambahnya, kes berkenaan juga disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan.

“Polis menasihati orang ramai agar dapat lebih berhati-hati sewaktu membuat pembelian dalam talian bagi menggelakkan mereka ditipu sindiket sebegini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN