Simpan dadah bernilai RM7.6 juta dalam kondominium terbongkar

Sorok dadah bernilai RM7.6 juta dalam kondominium terbongkar, dua ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kegiatan pengedaran dadah yang berselindung di tiga unit kondominium mewah di Cheras, dekat sini terbongkar selepas dua individu ditahan pada 14 Februari lalu. 

Menerusi serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu, dadah seberat 182.97 kilogram bernilai RM7.6 juta yang disimpan di dalam kondominiun itu dirampas.

Turut dirampas iaitu sepucuk pistol tiruan jenis Airsoft bersama dua kelopak.

Pengarah JSJN, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md. Din berkata, salah seorang yang ditahan adalah dalang dalam sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak tahun lalu bagi pasaran Lembah Klang, Sabah dan Sarawak.

Kata beliau, seorang lagi suspek berperanan sebagai ‘runner’ bagi menghantar dadah-dadah berkenaan kepada pelanggan mereka.

“Bagi pembelian dadah di Lembah Klang, sindiket ini mengambil pesanan daripada pelanggan sebelum dihantar oleh ‘runner’. Bagi pelanggan dari Sabah dan Sarawak pula, dadah dihantar menerusi bungkusan kurier,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kata beliau, unit kondominiun itu disewa pada kadar RM2,500 sebulan.

Katanya, berdasarkan bungkusan, polis percaya bekalan dadah itu diperoleh dari Myanmar yang dibawa masuk menerusi jalan darat sama ada dari Bukit Kayu Hitam, Kedah atau Sungai Golok, Kelantan.

“Hasil tangkapan itu, pelbagai aset sindiket berkenaan dianggarkan bernilai RM163,300 diambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

“Aset yang disita membabitkan sebuah kereta Mercedes Benz E350, sebuah kereta Hyundai Sonata dan seutas jam tangan berjenama,” jelasnya.

Tambah Mohd Kamarudin, kesemua rampasan dadah dan sitaan harta dalam operasi ini berjumlah RM7.7 juta dengan dadah dirampas boleh dibekalkan kepada kira-kira 850,000 penagih. 

Beliau berkata, semakan dilakukan mendapati salah seorang suspek mempunyai 22 rekod berkaitan jenayah dan dadah. 

“Hasil ujian awal saringan air kencing dilakukan terhadap kedua-dua suspek didapati negatif dadah,” katanya. 

“Polis masih mengesan saki-baki sindiket berkenaan serta pihak lain yang terbabit dengan kegiatan itu,” ujarnya.

Kata beliau, kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 27 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. 

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan berkaitan dadah boleh menghubungi Hotline JSJN di talian 012-2087222 untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×