TAPAH: Seorang lagi tahanan lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor pada Khamis lalu maut apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 332.5 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan kira-kira pukul 9.20 malam semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, polis menerima laporan mengenai kemalangan maut itu pada pukul 9.20 malam.
“Kemalangan itu melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan seorang pejalan kaki. Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk proses bedah siasat dan pegawai imigresen telah hadir ke hospital itu mengesahkan mangsa merupakan salah seorang tahanan yang berjaya melarikan diri dari depot,” katanya.
Khamis lalu, seramai 131 warga asing melarikan diri dari blok lelaki depot itu yang merangkumi 115 etnik Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh.
Bagaimanapun, seorang daripada tahanan berkenaan maut selepas dilanggar kenderaan ketika cuba melarikan diri. – UTUSAN










