Seniman di ‘jalanan’

Seniman di ‘jalanan’

RAHIM Kidol kini menumpang dalam kabin kecil di sebuah medan selera Taman Mas, Puchong ihsan daripada kenalan terdekat. - UTUSAN/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Di sebalik tanggapan bahawa artis di negara ini hidup penuh glamor dan dilimpahi kemewahan seperti watak-watak orang kaya yang mereka lakonkan, banyak kisah yang boleh menyentuh perasaan kita, kerana hakikatnya kehidupan mereka tidaklah seperti yang sering digambarkan.

Kehidupan artis tempatan tidak menyamai rakan seangkatan mereka di luar negara seperti industri perfileman Bollywood dan Hollywood.

Mingguan Malaysia baru-baru ini meninjau kehidupan sebilangan artis tempatan kita yang kini hidup dalam kesempitan kerana tiada tawaran bekerja selain sakit.

Maimunah Ahmad atau lebih popular dengan panggilan Mak Jah, 75, adalah wajah yang cukup sinonim dengan industri filem dan drama tempatan. Lebih 34 filem, 14 drama dan enam telefilem sudah dijayakan yang menjadikan dia antara pelakon pilihan penerbit, pengarah dan penonton.

Namun, Mak Jah yang kini menetap di flat Program Perumahan Rakyat (PPR) di ibu negara tidak lagi mampu bekerja seperti dulu. Dia diduga dengan pelbagai masalah kesihatan termasuk penyakit saraf dan radang tulang yang membataskan pergerakan sekali gus mengakibatkan dia hilang punca pendapatan.

“Dahulu, Allah bagi kekuatan dan tenaga untuk saya mencari rezeki dengan berlakon. Sekarang banyak tawaran terpaksa saya tolak disebabkan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

“Tetapi saya berterima kasih dengan penerbit yang prihatin seperti Rosyam Nor, Haji Zeel dan Along Kamaludin yang tetap mahu saya berlakon dengan mereka sehingga sanggup menjemput dan menghantar saya ke lokasi penggambaran,” kongsinya.

Mak Jah pada 2016 pernah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur akibat kanser rahim tahap pertama sebelum disahkan bebas daripada penyakit itu pada April 2019.

Kini, Mak Jah memaklumkan dia perlu menanggung kos ribuan ringgit untuk membiayai rawatan bagi penyakit saraf dan radang tulang yang dialaminya.

“Kos perubatan mencecah lebih RM3,000, termasuk untuk membeli suplemen dan mendapatkan rawatan radang tulang yang terpaksa saya lakukan dua tiga kali sebulan.

“Mujur ada anak-anak dan ada rakan artis prihatin dan menghulurkan bantuan meskipun adakalanya saya rasa agak keberatan kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa,” katanya.

Belas ihsan keluarga, masyarakat

Bagi penyanyi Aida atau nama sebenarnya Aidah Agil yang satu ketika dahulu popular dengan lagu Segalanya Pasti, kini dia hanya berharap belas ihsan keluarga dan masyarakat untuk meneruskan kehidupan.

Aida yang kini menetap di flat PPR Sri Stulang, Johor Bahru menerima ketentuan Allah SWT dan tidak pernah putus berdoa agar dia sentiasa dilimpahkan rezeki dan kesihatan yang baik.

“Saya sudah tak kuat, tak sihat macam dahulu. Selain menghidap kencing manis, saya juga ada darah tinggi. Pada masa sama, kesakitan akibat patah kaki kerana jatuh parit sejak enam tahun lalu masih saya rasakan sampai ke hari ini.

“Keadaan ini membuatkan saya terpaksa menggunakan kerusi tongkat dan kerusi roda untuk bergerak ke mana-mana. Ada masanya, kena ada orang pimpin untuk bantu saya berjalan.

“Disebabkan ini, saya hilang punca pendapatan, terpaksa mengharapkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain ihsan keluarga,” luahnya yang tidak pernah mendirikan rumah tangga.

Kata Aida, selain perbelanjaan harian, dia juga menanggung kos kira-kira RM500 untuk membeli suplemen sebagai sebahagian alternatif pemulihan masalah sakit kaki dan saraf.

“Sumbangan JKM dan keluarga membantu mengurangkan beban bulanan. Saya kena berjimat cermat kerana sudah tidak punya pendapatan. Saya tak boleh paksa orang untuk bantu saya, tapi saya berterima kasih kepada mereka yang prihatin membantu saya,” katanya.

Tinggal dalam kabin

Bagi pelakon dan penggiat seni veteran, Rahim Kidol, yang sudah bergelumang dalam bidang lakonan dan alih suara lebih 30 tahun, dia juga kini hidup dalam kesempitan wang akibat kurang mendapat tawaran pekerjaan.

Pada usia 64 tahun, Rahim kini menumpang dalam kabin kecil di sebuah medan selera Taman Mas, Puchong ihsan daripada kenalan terdekat.

Menurut Rahim, dia sudah menetap di kabin itu sejak setahun lalu selepas dipelawa bekerja sebagai juruhebah di medan selera tersebut.

“Dulu saya duduk di rumah anak yang terletak di Taman Medan. Tapi selepas dipelawa menjadi deejay, saya pindah ke kabin ini yang juga studio sejak setahun lalu. Lagi pula anak sudah berkeluarga. Tidak selesa jika saya tinggal bersama mereka,” katanya.

Menurut Rahim yang dikenali membawakan watak Inspektor Megure dalam animasi Detektif Conan, kali terakhir dia mendapat tawaran berlakon ketika pandemik Covid- 19 dua tahun lalu. Selain menjadi juruhebah, Rahim juga menyanyi di jalanan (busking) di sekitar Cyberjaya bersama rakan-rakan.

“Saya bukanlah penyanyi, tapi sesekali saya akan busking dengan kawan-kawan cuma tidak kerap. Pendapatan tidak tetap, saya pernah dapat RM30. Kami pula berlima dengan kawan-kawan pemuzik. Jadi hasil kutipan perlu dibahagikan,” tambahnya.

Sejak perniagaan Medan Selera ditangguhkan operasi, Rahim mula menjadi pemandu lori dan sudah mendapatkan lesen GDL khas untuk muatan berat dengan membawa lori kawannya.

“Saya pun jadilah pemandu lori. Cuma malangnya lori yang saya bawa mengalami kerosakan semasa ke Perlis. Jadi, kenalan saya itu perlu baiki lori itu yang menelan belanja RM4,000,” jelasnya yang mendedahkan mempunyai pendapatan kurang RM1,000 setiap bulan.

Kata Rahim, walaupun sudah berusia, namun kudrat dan ingatannya masih kuat sekiranya ada pihak yang ingin menawarkan peluang pekerjaan kepadanya.

Tiga tahun jadi gelandangan

Salah seorang lagi artis yang bergelut dengan kehidupan yang memilukan ialah komposer dan penerbit tersohor, Ross Ariffin atau nama sebenarnya Roslan Ariffin, 62. Dia yang pernah mencipta lagu untuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ning Baizura, Fauziah Latiff dan Liza Aziz, kini hidup menyendiri.

Dugaan dan ujian tidak pernah lekang daripada hidupnya bermula apabila dia menjadi gelandangan selama tiga tahun di Kuala Lumpur sewaktu pandemik Covid-19.

Selepas menjadi gelandangan lebih tiga tahun, kisahnya mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang tampil membantu mendapatkan sebuah rumah PPR untuknya berteduh.

Rumah berkenaan hasil permohonan yang diajukan beliau sendiri kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa.

Dana bantu artis kian susut

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menaungi artis di negara ini sudah susut dana bantuan daripada kerajaan dalam membantu artis yang susah dan berpenyakit kronik.
Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) yang diketuai oleh Datuk DJ Dave juga menerima nasib sama apabila dana disumbangkan kerajaan beberapa tahun lalu semakin berkurangan berikutan banyak bantuan telah disalurkan kepada artis memerlukan.

Antara bantuan itu termasuklah bantuan sekali bayar sebanyak RM1,000, mendapatkan rumah projek perumahan rakyat (PPR), dan bantuan sumbangan pencen.

Yayasan artis yang mempunyai tidak kurang 1,000 ahli itu sering mengadakan program membantu artis meskipun ada artis yang tidak berdaftar dengan yayasan itu, YKAT akan membantu mengikut keperluan artis terbabit dalam meringankan beban yang ditanggung.

Menurut Dave, YKAT juga menganjurkan pelbagai program penerangan dan aktiviti kebajikan tetapi tidak ramai artis menghadirinya.

Meskipun kecewa dengan segelintir artis yang tidak memberi sambutan terhadap pelbagai program tetapi pihaknya tetap membantu mereka yang berkeperluan.

“Dana yang semakin menyusut menjadi antara cabaran kepada yayasan untuk menggerakkan usaha membantu artis yang mengalami kesusahan. Disebabkan itu, kita berterusan menggerakkan inisiatif untuk mengumpul dana bagi membantu golongan berkenaan.

“Lima tahun yayasan ini bergerak tanpa sokongan kerajaan. Kali terakhir kami terima bantuan kerajaan adalah pada 2017. Puncanya mungkin sekali kerana pertukaran kerajaan yang berlaku dalam tempoh berkenaan,” jelasnya ketika ditemui baru-baru ini.

Pada masa sama, katanya, usaha mengutip sumbangan menjadi lebih sukar lebih-lebih lagi selepas pandemik Covid-19. Banyak syarikat swasta berdepan kekangan untuk menyumbang disebabkan keadaan ekonomi yang tidak stabil.

“Tetapi kami beruntung. Dengan sistem pengurusan kewangan yang betul, yayasan ini dapat terus bergerak dan membantu golongan artis yang berdepan kesusahan,” katanya.

Dave memberitahu, pihaknya merancang untuk menganjurkan konsert membabitkan artis antarabangsa dan tempatan untuk mengumpul dana bagi membolehkan yayasan itu meneruskan usaha dalam menyantuni golongan artis yang kurang bernasib baik.

Beliau memaklumkan setakat ini YKT berjaya membantu lebih 1,700 artis tanah air yang kurang bernasib baik.

Katanya, bantuan yang diberikan adalah menerusi beberapa skim yang diwujudkan termasuklah antaranya khairat kematian, pencen, sumbangan perayaan, bantuan perumahan dan sumbangan khas buat artis yang dimasukkan ke hospital.

“Artis yang menerima bantuan adalah mereka yang bergelar penyanyi, pemuzik dan pelakon yang berdaftar dengan mana-mana persatuan seperti Seniman, Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air (Papita), Karyawan dan banyak lagi,” katanya.

Artis pinjam ah long

Terdapat dalam kalangan artis tempatan yang terpaksa meminjam ah long ekoran masalah kesusahan hidup yang mereka tanggung.

Perkara itu didedahkan oleh Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) , Zed Zaidi yang berkongsi masalah mengenai nasib segelintir artis tempatan yang tidak mendapat kerja untuk menampung hidup.

Beliau mengakui, segelintir artis terutama yang veteran tiada pendapatan ekoran tawaran berlakon semakin berkurangan.

“Kebanyakan mereka ini tiada tawaran berlakon, tiada peluang dan biasanya di Malaysia semakin berusia artis berkenaan, semakin kurang bayaran dan tawaran berlakon, “ ujarnya.

Antara puncanya, kata beliau adalah tidak mahir teknologi terutama media sosial. Apabila ini berlaku mereka tidak tahu perkembangan semasa dan tidak ada pengetahuan untuk mencari peluang kerja atau pendapatan .

“Ada artis muda yang berpengetahuan media sosial mencari peluang perniagaan dan mencari pendapatan sampingan sementara menunggu tawaran berlakon,” katanya.

Menurut Zed, itu risiko artis veteran sekarang yang berdepan cabaran teknologi yang kebanyakan mereka tidak menguasainya.

Justeru pilihan yang ada adalah menguasai teknologi sesuai dengan perkembangan zaman dan mengambil tahu maklumat yang dikongsi Seniman menerusi laman sesawang.

Persatuan tersebut, kata beliau merancang pelbagai projek bagi manfaat ahli yang berjumlah kira-kira 8,000 orang bagi menampung dananya yang semakin kekeringan.

Projek bela nasib artis

Seniman juga sedang membangunkan beberapa projek yang bertujuan membantu membela nasib artis. Antaranya termasuklah mewujudkan penggredan artis berdasarkan kepada kelayakan akademik pengalaman, kemahiran dan sumbangan kepada persatuan.

Menurut Zed, sistem itu berguna memberi gred kepada artis dan penggiat seni dan sekiranya ada produksi luar yang ingin mengambil pelakon tempatan berlakon mereka yang dikategorikan dalam kelas A boleh diketengahkan.

Secara tidak langsung, artis berpeluang berlakon dengan penerbitan luar negara berdasarkan kelayakan mereka.

Mereka yang berpengalaman dan berpendidikan juga berpeluang ditawarkan pekerjaan sebagai pensyarah atau menyertai apa juga jawatan akademik yang sekali gus memberi pendapatan selain kerjaya lakonan.

Justeru beliau turut berharap supaya artis tempatan terutama golongan veteran supaya peka perkembangan semasa dan mahir teknologi terutama media sosial.

“Golongan veteran tidak boleh terlalu demand kerana senario semasa di negara ini lebih memihak kepada artis muda. Mereka juga perlu memahami perkembangan semasa manakala Seniman mencari formula terbaik membela nasib artis,” katanya.

Ketika ini, jelasnya, bayaran untuk artis tempatan agak rendah kerana stesen televisyen juga membayar harga murah.

“Seniman akan memperjuangkan supaya bayaran lakonan artis adalah sesuai dengan keadaan semasa,” katanya.

Mengenai bantuan kepada ahli Seniman beliau berkata, setakat ini dana untuk membantu artis pernah diperuntukkan oleh kerajaan sebanyak RM6 juta tetapi ia semakin berkurangan.

Bantuan itu merangkumi wang tunai sekali bayar RM1,000, bantuan makanan dan peralatan bantuan rumah PPR. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×