BERA: Felda dan kerajaan negeri diminta segera mengatasi kemelut pelantikan kepemimpinan baharu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) di beberapa rancangan di Felda Wilayah Mempaga yang didakwa tidak mengikut prosedur dan garis panduan dikeluarkan agensi berkenaan.
Difahamkan, beberapa buah rancangan Felda di wilayah itu iaitu Felda Triang 1 dan Felda Tementi memprotes pelantikan ketua peneroka baharu malah ada yang membuat laporan polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan berhenti beramai-ramai.

Kemelut ini dilaporkan berlaku berikutan ‘kuasa berpusat’ kesan keputusan agensi itu mewujudkan semula JKKR di 317 tanah rancangan Felda seluruh negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Peneroka Felda Triang 1, Mat Jidi Yaakob berkata, mesyuarat kali pertama JKKR Felda Triang 1, Bera kecoh baru-baru ini apabila ketua-ketua blok membantah prosedur pelantikan dibuat Felda.
“Mesyuarat bersetuju supaya Felda membuat pemilihan baharu mengikut garis panduan ditetapkan oleh Felda sendiri yang cantik di atas kertas tetapi gagal dipatuhi oleh agensi itu.
“Sebagai bekas ketua peneroka berpengalaman dan aktif dalam pelbagai program Felda mempertikaikan ketelusan pemilihan ketua peneroka sesi 2024-2026 yang jelas didapati bercanggah dengan syarat dan garis panduan yang dikeluarkan agensi berkenaan,” katanya di sini semalam.
Mat Jidi mendakwa, dia layak dipilih semula sebagai ketua peneroka Felda Triang 1 kerana melepasi syarat mesti calon menang dalam pemilihan dalam kalangan ketua-ketua blok di peringkat rancangan.
Beliau mendakwa, dia melepasi syarat dibawah Fasa 3.2.1 berdasarkan garis panduan pemilihan dan pelantikan pemimpin peneroka di rancangan dan wilayah Felda Sesi 2024-2026. – UTUSAN










