Selaras harga beras tindakan ‘menang-menang’ – Naccol

Selaras harga beras tindakan ‘menang-menang’ – Naccol

SYED ABU HUSSIN HAFIZ SYED ABDUL FASAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga beras putih Malaysia Madani yang ditetapkan pada RM30 bagi kampit 10 kilogram merupakan langkah menang-menang untuk semua pihak termasuk pesawah, pengilang dan pengguna.

Ia disebabkan penyelarasan harga beras putih tempatan dan import pada satu kadar sama dijangka mampu menamatkan tindakan memanipulasi bekalan makanan ruji rakyat Malaysia tersebut setiap kali berlaku kenaikan harga di peringkat global.

Pengerusi Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol), Datuk Seri Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, isu yang membelenggu dalam industri beras negara sebelum ini adalah disebabkan harga beras putih tempatan dikawal iaitu pada kadar RM26 bagi kampit 10 kilogram.

Bagaimanapun, katanya, harga beras putih import pula langsung tidak dikawal sehingga berlaku lonjakan mendadak di pasaran tempatan.

“Apa yang berlaku adalah pengilang, pemborong dan peruncit mengambil kesempatan menjual beras putih import pada kadar melebihi RM40 bagi kampit 10 kilogram sedangkan beras putih tempatan kekal pada kadar lama.

“Oleh kerana pengeluaran beras putih tempatan melebihi 60 peratus, jadi ada pihak tidak bertanggungjawab menjualnya dalam kampit beras import supaya dapat mengaut keuntu­ngan berganda,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Menurutnya, tindakan itu mengakibatkan berlakunya ke­kurangan bekalan beras putih tempatan di pasaran sehingga menyebabkan pengguna secara keseluruhannya terpaksa membeli beras import pada harga tinggi.

“Jadi apabila kerajaan memperkenalkan beras putih Malaysia Madani bagi menggantikan kategori beras putih tempatan dan import ia adalah situasi menang-menang untuk semua pihak.

“Rakyat dapat membeli beras pada harga munasabah tak kira beras tempatan atau import,” katanya.

Sebelum ini, Syed Abu Hussin Hafiz mengumumkan bahawa kerajaan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani bagi menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara.

Mekanisme terbaharu itu, kategori beras putih tempatan (SST) dan beras putih import (SSI) dimansuhkan melainkan Beras Putih Malaysia Madani sebagai kategori beras tunggal di pasaran negara.

Buat masa ini, harga beras tempatan ditetapkan pada RM26 setiap 10kg manakala beras import kampit 10kg berharga antara RM36 hingga RM38.

Bagaimanapun mulai 1 Mac ini, pengguna boleh mendapatkan bekalan beras putih berharga RM30/kampit di pasaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN