PUTRAJAYA: Sasaran 30 peratus pemilikan dan penguasaan bumiputera dalam sektor korporat yang ditetapkan menerusi Dasar Ekonomi Baharu (DEB) akan diteruskan, kata Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, semua pihak yang terlibat dengan agenda bumiputera harus mengambil tanggungjawab bersama dan usaha mencapai sasaran itu tidak perlu dihentikan.
“Dasar dan inisiatif yang diperkenalkan termasuk soal pemilikan tanah, ekuiti perniagaan, pendidikan, peluang usaha, pekerjaan dan perbekalan, walaupun masih belum mencapai sasaran perlu terus diperkasakan.
“Contohnya pemilikan dan penguasaan dalam sektor korporat bumiputera ketika ini hanya berada pada tahap 17.2 peratus,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada KEB 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Katanya, kerajaan juga mempunyai tanggungjawab bagi mencapai sasaran itu malah, agensi pelaksana perlu terus melaksanakan mandat dan tidak melupakan asas penubuhan mereka.
Usaha meneruskan dasar DEB itu termasuk dalam enam tekad yang digariskan menerusi TEB.
Tekad lain termasuk menutup ketirisan pelaksanaan; mewujudkan kesetaraan antara wilayah, kaum dan kelompok; mengenal pasti peluang baharu; mewujudkan jalinan tulen dan menjamin tidak meminggirkan kaum lain.
Ahmad Zahid berkata, TEB juga akan menjamin untuk tidak meminggirkan atau menafikan hak kaum lain bertujuan mewujudkan keadilan dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
“Begitu juga dengan pelaksanaan TEB ini di mana hak pelbagai kaum akan terus dijamin. Sejarah telah membuktikan bahawa usaha kerajaan memperkasa bumiputera tidak sekali-kali menyebabkan mana-mana kaum lain di negara ini terpinggir.
“Sejak pelaksanaan KEB yang pertama pada tahun 1965 dan diikuti beberapa penganjuran seterusnya sehingga kini, dasar-dasarnya menghormati hak semua kaum, termasuk dalam akses kepada peluang ekonomi, pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan lain,” katanya. – UTUSAN