LUMUT: Seorang anggota polis berpangkat sarjan yang sebelum ini ditahan reman kerana disyaki terlibat merogol pelajar berusia 16 tahun sudah dibebaskan dengan jaminan polis.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri, kertas siasatan kes tersebut sudah dilengkapkan dan dihantar kepada pejabat timbalan pendakwa raya (TPR) pada Rabu lalu.
“Sekarang kita tunggu arahan daripada TPR sama ada teruskan dengan tuduhan atau perlu siasatan lanjut lagi,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2024 Peringkat PDRM Kontinjen Perak di Plaza Tol Lekir Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE), di sini hari ini.
Sebelum ini dilaporkan seorang remaja perempuan tingkatan empat yang mendakwa menjadi mangsa rogol anggota polis berpangkat sarjan berusia 42 tahun itu.
Perbuatan suspek terbongkar selepas mangsa memaklumkan kejadian berkenaan kepada ibunya yang seterusnya membuat laporan polis.
Difahamkan, kejadian itu berlaku di dalam kereta berhadapan balai polis dan kawasan tempat letak kereta hadapan sebuah pasar raya di Seri Iskandar pada Julai serta Oktober tahun lalu.
Suspek kemudian ditahan pihak polis pada 28 Januari untuk membantu siasatan.
Mengulas mengenai siasatan dalaman Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) terhadap anggota polis, Mohd. Yusri berkata, polis Perak sudah merujuk kes terlibat kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.
“Memang kita lihat baru-baru ini, ada terdapat dari segi ketidakpatuhan integriti dalam pasukan polis sendiri.
“Kes tersebut kita telah siasat secara telus dan adil. Kes ini telah diambi alih oleh pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman daripada PDRM Perak untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN











