KUALA LUMPUR: Primadona filem Melayu, Datuk Sarimah Ahmad, 82, mendedahkan beliau kini disahkan bebas kanser usus tahap tiga yang dideritainya sejak dua tahun lalu.
Kata pelakon itu, selepas menjalani pembedahan pada tahun 2023, beliau hanya mengamalkan gaya hidup sihat dengan memperbanyakkan pengambilan makanan organik dan berkhasiat untuk pulih.
“Saya tidak membuat rawatan kimoterapi disebabkan usia saya yang sudah lanjut. Sebaliknya saya hanya menjaga pemakanan untuk pulih daripada kanser berkenaan.
“Saya perbanyakan pengambilan makanan sihat seperti salad, buah-buahan, madu, telur ayam (kampung) dan kekacang,” katanya selepas program Ziarah Madani yang diketuai Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahmad Farhan Fauzi.
Berkongsi lanjut, Sarimah memaklumkan dirinya disahkan mengalami kanser berkenaan sekitar dua tahun lalu selepas membuat pemeriksaan di sebuah hospital swasta di Subang Jaya.
“Pada awalnya saya mengalami sakit perut yang saya sangkakan hanya sakit biasa. Sehinggalah satu hari saya pengsan di bilik mandi.
“Saya segera dibawa ke sebuah hospital swasta di Shah Alam. Namun doktor memaklumkan saya tidak mengalami sebarang masalah kesihatan justeru hanya merawat dengan ubat-ubatan. Namun, kesihatan saya selepas itu merosot dan terpaksa dirujuk ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mengesahkan saya menghidap kanser tersebut dan dan perlu segera menjalani pembedahan,” kongsinya lagi.
Dalam perkembangan sama, pelakon ikonik itu juga memaklumkan sebelum enggan menguar-uarkan penyakit yang dideritainya itu kepada umum meskipun berdepan kesulitan untuk menampung kos rawatan kanser berkenaan yang mencecah puluhan ribu.
“Saya tidak mahu menagih simpati. Atas sebab itu, saya telah menggunakan duit simpanan untuk membiayai kos rawatan yang mencecah RM60,000.
“Alhamdulillah semuanya kini selesai. Saya tidak mahu susahkan dan berhutang dengan sesiapa,” kongsinya.
Sarimah sebelum ini juga pernah menderita kanser hidung pada 2011 namun pulih sepenuhnya selepas melakukan pembedahan. – UTUSAN










