INDUSTRI seni tempatan pada era 70-an meriah dengan kehadiran ramai penyanyi bukan sahaja berbakat, tetapi mempunyai keunikan yang tersendiri.
Fauziah Buang atau nama popularnya, Effa Rizan, 62, antara penyanyi yang menonjol dengan kelunakan suara dan kecantikan semula jadi.
Effa juga beruntung kerana dipilih menyanyikan lagu-lagu yang berjaya melonjakkan namanya dalam dunia seni suara.
Antara yang menjadi siulan adalah Rasa Hati, Manis Di Bibir, Jangan Pergi Dariku dan banyak lagi.
Saya berpeluang menemu bual penyanyi bertaraf legenda ini menerusi telefon Selasa lalu.
Effa sempat menyanyikan beberapa rangkap dalam lagu Rasa Hati. Ternyata mutu suaranya tak terkesan ditelan usia.
Effa bersyukur kerana masih mampu menyanyi pada usia menginjak 63. Dia percaya, rezeki sudah tertulis untuk dia terus mencari pendapatan dengan kebolehan nyanyiannya.
“Saya menyanyi semula pada 2001 selepas berbelas tahun mengundur diri. Selagi terdaya, saya akan teruskan.
“Keputusan itu saya buat kerana peminat. Anak-anak pun semua meningkat dewasa. Jadi bolehlah saya terima tawaran membuat persembahan untuk mengubat rindu peminat.
“Saya sedar peminat masih ingin mendengar saya nyanyikan lagu Rasa Hati dan Manis di Bibir secara live. Mereka sendiri yang suarakan permintaan itu kepada saya. Jadi tak salah untuk saya lunaskan hasrat mereka,” kata Effa.
Rezeki buat Effa kerana peminatnya tidak pernah jemu mendengar dia menyanyi lagu-lagu tersebut secara live. Itulah trademark Effa Rizan, vokalnya mengembalikan nostalgia pendengar.
“Manis di Bibir dirakam pada tahun 1976. Sampai sekarang peminat masih mahu saya nyanyikannya.
“Tak pernah terlintas dalam fikiran saya yang lagu itu akan terus diminati sampai sekarang. Tapi saya tidak menafikan lagu-lagu saya ada juga yang mengembalikan nostalgia. Mungkin itu sebabnya peminat masih menghargai,” katanya.

KORBAN USIA MUDA
CERITA awal pembabitan dunia seni biduanita ini menarik untuk dikongsikan. Bayangkan, pada usia 15 tahun penyanyi ini sudah masuk studio rakaman.
Kata Effa, ketika remaja, dia tidak minat dan tak bercita-cita menjadi penyanyi. Malah katanya, sebagai seorang yang pemalu, dia tidak merasakan dirinya layak menjadi penghibur.
“Saya memang tak tahu apa-apa tentang menyanyi. Minat hanya datang selepas rakam lagu. Sebelum itu saya tak pernah bercita-cita, pegang mikrofon pun tidak.
“Semua bermula apabila seorang wartawan yang datang ke rumah di Singapura mencadangkan saya mencuba nasib menjadi penyanyi. Dia menyuruh saya hadir uji bakat di Radio Televisyen Singapura (RTS). Walaupun malu, saya ikut saranan wartawan itu dan pergi uji bakat.
“Rezeki tak salah alamat. Saya terpilih menyertai rancangan Persembahanku. Empat lagu saya nyanyikan, antaranya Sepanjang Jalan Kenangan oleh Broery Marantika,” ceritanya.
Bakat Effa dihidu komposer dan pemuzik legenda, Allahyarham Kassim Masdor yang ketika itu menonton persembahan Effa menerusi rancangan tersebut.
“Arwah nampak kebolehan saya dan terus menghubungi ayah saya untuk meminta kebenaran melamar saya sebagai artis rakaman.
“Ayah tak menghalang tapi saya tak boleh abaikan pelajaran. Jadi lepas habis sekolah, saya akan berada di studio untuk buat rakaman. Itulah perjalanan awal saya sebagai penyanyi,” ujarnya.
Kesibukan sebagai penyanyi membuatkan Effa hilang keseronokan usia mudanya. Tatkala remaja lain seronok menikmati usia muda, Effa sudah bekerja mencari rezeki dan mengembangkan kerjaya.
“Boleh kata saya tak rasa zaman remaja. Umur 15 tahun sudah menyanyi, masuk studio rakam lagu.
“Tak ada berpeluang keluar dengan kawan-kawan, tiada sambutan hari jadi. Memang tak sempat merasakan keseronokan usia muda,” katanya.
Namun Effa bersyukur, disebabkan jadi penyanyilah dia berpeluang melihat dunia, pergi ke ceruk kampung dan pedalaman untuk menghiburkan.
“Saya masuk Malaysia pada usia 19 tahun, berpeluang jadi penyanyi fun fair. Masa itu ceruk kampung mana yang saya tak masuk. Banyak kawasan pedalaman saya pergi, termasuklah di Pahang dan sebagainya.
“Banyak pengalaman tak dapat saya lupakan. Antaranya terpaksa menyeberang sungai dengan menaiki rakit untuk ke sebuah kampung yang terletak jauh di kawasan pedalaman.
Ada juga masanya saya terpaksa menelusuri kebun getah yang luas untuk sampai ke destinasi acara.
“Susah payah itu semua terbalas sebaik sahaja saya melihat sambutan penduduk kampung yang menyambut baik kehadiran artis seperti saya. Jelas mereka teruja kerana mungkin tidak banyak hiburan di kawasan mereka dan selama ini hanya mengikuti perkembangan artis kegemaran menerusi majalah dan radio,” kongsinya.

HILANG DARI RADAR SENI
EFFA mendirikan rumah tangga dengan seniman Datuk Dahlan Zainudin ketika dia berusia 18 tahun.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan empat cahaya mata. Selepas berkahwin, atas kerelaan hati, penyanyi bertaraf legenda ini memutuskan untuk mengundur diri dari dunia nyanyian untuk memberi tumpuan kepada keluarga.
“Pada usia 19 tahun saya sudah hamil anak sulung saya, Natasha. Banyak kebaikan berkahwin muda.
“Selepas bergelar isteri, saya seronok duduk di rumah, tumpukan tugas sebagai isteri dan ibu.
“Saya tak nafikan, memang ada orang membuat andaian. Kononnya arwah suami tak izinkan saya menyanyi. Semua itu tidak benar. Itu adalah kehendak saya sendiri sebab saya memang seronok menghabiskan masa dengan keluarga,” ujarnya.

TEMPOH SUKAR
SETIAP manusia tempuhi fasa sukar. Bagi Effa, antara tempoh yang paling menduga adalah ketika anak ketiganya, Mohamad Akasya Iman meninggal dunia 22 tahun yang lalu.
Kata Effa, hidup ketika itu terumbang ambing, membuatkan dia hampir hilang pertimbangan.
“Dia meninggal pada usia 12 tahun kerana penyakit leukemia. Masa itu, saya hampir hilang kewarasan. Masak tak boleh. Masa itu saya mudah terkenang, apatah lagi melihat kanak-kanak lain dengan uniform sekolah.
“Dua minggu selepas ketiadaan arwah, setiap hari saya ke kuburnya. Arwah suami yang ketika itu masih hidup tak tahu akan perkara ini. Saya akan gelisah kalau tak pergi ke kuburnya.
“Satu ketika, dengan izin Allah, terdetik rasa takut dalam diri saya. Bermula saat itu saya tidak lagi setiap hari ke pusara arwah.
“Sukar untuk saya terima kehilangan arwah. Dia anak periang dan suka berjenaka. Saya ambil masa lama untuk terima hakikat dia sudah tiada. Selama dua tahun saya menderita. Kalau arwah masih hidup, usianya sekarang mencecah 40 tahun,” katanya.

RAHSIA AWET MUDA
“Jaga hati kita”. Itu pesanan Effa saat saya bertanyakan rahsia dia kekal cantik sampai sekarang. Katanya, hati kena selalu gembira dan jalani kehidupan dalam tenang.
“Kita kena selalu gembira. Jaga perasaan kita. Jangan berkawan dengan orang yang bersifat toksik.
“Tapi berkasih sayang dengan semua orang. Jangan aniaya orang. Itu paling penting,” nasihatnya.
Dalam masa yang sama, kata Effa dia kena menjalinkan sillaturrahim agar hidupnya menjadi lebih bermakna.
“Umur saya sudah lebih 60 tahun. Saya kena selalu berjumpa kawan dan peminat untuk menghiburkan hati.
“Sebab itu pada usia sekarang saya masih terima tawaran menyanyi. Sebab hati saya rasa seronok dan gembira,” kongsinya lagi









