TAMPIN: Projek Landasan Berkembar Sistem Tren Elektrik (ETS) Gemas-Johor Bahru yang dijangka mula beroperasi pada tahun hadapan bakal memberi manfaat kemudahan pengangkutan awam kepada penduduk daerah ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin malahan berkata, projek itu juga secara tidak langsung memberi impak positif terhadap pembangunan di kawasan Gemas.
“Penduduk di daerah Tampin akan menerima manfaat kemudahan pengangkutan awam yang membolehkan mereka pergi ke utara atau selatan tanah air dengan lebih cepat.
“Malah, kesan ekonomi juga akan dapat dirasai penduduk di daerah ini nanti,” katanya pada Majlis Perhimpunan Jabatan Daerah Tampin, di Dewan Perdana Tampin, di sini, semalam.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar pembangunan di daerah Tampin selari dengan ‘jenama’ yang diiktiraf Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) pada tahun 2021 iaitu sebagai daerah paling bahagia.
“Oleh kerana Tampin dilihat sebagai daerah untuk penempatan komuniti yang di dominasi kawasan pinggir dan luar bandar maka keutamaannya mesti bersifat kemudahan dan perkhidmatan,” katanya.
Sementara itu, Aminuddin turut mengingatkan kesemua ketua jabatan agar memastikan jabatan mereka sentiasa berintegriti serta bersih daripada amalan rasuah.
“Ketua jabatan di peringkat daerah perlu tegas. Sebenarnya ketua jabatan boleh diambil tindakan walaupun yang melakukan kerja ini (rasuah) di peringkat bawahan, perlu dalam radar ketua-ketua jabatan apa yang dilakukan oleh anak-anak buah mereka,” katanya. – UTUSAN











