Positif dadah: 2 anggota polis termasuk pegawai ditahan

Positif dadah: 2 anggota polis termasuk pegawai ditahan

MOHAMED USUF JAN MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Polis Pulau Pinang menahan seorang pegawai berpangkat Deputi Superintenden dan seorang lagi anggota berpangkat Sarjan selepas mendapati kedua-duanya positif dadah dalam pemeriksaan saringan air kencing, Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, susulan penahanan itu, polis kemudian membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 15 (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 selain memulakan siasatan tatatertib.

”Pegawai polis berpangkat Deputi Superintenden itu berusia 39 tahun manakala anggota berpangkat Sarjan itu pula berumur 42 tahun dan kedua-dua mereka bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT).

”Hasil pemeriksaan daripada ujian saringan air kencing itu pula mendapati, masing-masing positif dadah jenis Benzo dan THC,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Terdahulu, kata beliau, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman yang bermesyuarat di IPD SPT Jumaat lalu telah menjalankan ujian air kencing terhadap para pegawai serta anggota polis yang hadir.

“Polis kemudiannya menahan pegawai dan anggota tersebut selama 24 jam, namun, Majistret tidak memberikan perintah reman.

”Hal ini demikian kerana, kedua-dua mereka memaklumkan bahawa mereka masih aktif dalam perkhidmatan dan boleh hadir pada bila-bila masa untuk siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, tiada dadah ditemukan bersama kedua-dua orang suspek itu.

“Setakat ini, pegawai dan anggota polis yang berkenaan masih menjalankan tugas mereka seperti biasa kerana masih tiada arahan untuk menahan kerja sementara menunggu laporan patologi,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×