KUALA LUMPUR: Penyanyi dan maestro vokal, Datuk Syafinaz Selamat menasihatkan penyanyi muda untuk kekal menjadi diri sendiri biarpun genre muzik yang dipilih mungkin bukan sesuatu yang digemari oleh kebanyakkan peminat muzik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, di zaman serba moden ini, peminat muzik terbuka dan boleh memilih mana-mana genre kegemaran mereka di pelbagai platform muzik biarpunbukan satu genre popular.
“Sebenarnya, ramai juga peminat sedar dan terbuka dengan muzik pelbagai genre. Nasihat saya, adik-adik semua, buatlah sesuatu yang berbeza tetapi tidak sesekali meninggalkan identiti diri sendiri.
“Kekal dengan kepercayaan dan kebolehan. Kalau mahu populariti cepat, kena buat benda (genre) yang orang suka. Tetapi berhati-hati, kadang-kadang pilihan itu boleh menjerat diri sendiri.
“Fikir dulu apa yang awak inginkan. Kepuasan dalam berkarya atau populariti? Takkan anda mahu hidup dalam dunia ciptaan tanpa kebahagiaan sebab tak boleh menjadi diri sendiri?” ujarnya.

Tambah penyanyi Ingin Bersamamu itu lagi, kejayaan datang daripada pelbagai bentuk dan bukan populariti sahaja yang mencerminkan kecemerlangan seseorang terutama dalam industri muzik.
“Bagi saya, kejayaan setiap individu itu berbeza. Popular bukan satu-satunya kejayaan. Bila anda dihormati kerana karya, seni dan siapa diri anda, itu juga satu bentuk kejayaan.
“Jadilah diri sendiri,” kata pensyarah vokal dalam Jabatan Muzik Fakulti Seni Persembahan di UiTM dan Aswara, serta vocal master untuk Koir Kebangsaan Malaysia itu.- UTUSAN










