Polis sahkan kenderaan ekori ambulans dalam kecemasan bawa menteri - Utusan Malaysia

Polis sahkan kenderaan ekori ambulans dalam kecemasan bawa menteri

MOHD. YUSRI HASSAN BASRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis mengesahkan kenderaan yang mengekori rapat ambulans dalam kecemasan ketika berlaku kesesakan trafik di Lebuh Raya Utara-Selatan antara Simpang Pulai ke Tapah pada Sabtu lalu, dinaiki oleh menteri.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, ketika kejadian, kenderaan rasmi menteri tersebut dalam perjalanan ke program kebajikan yang diadakan di Rumah Pangsa Jalan Silang di sini.

Bagaimanapun katanya, menteri itu tidak sempat menghadiri program tersebut berikutan kesesakan yang berlaku.

“Kita telah mengesan satu ‘posting’ tular berkaitan kenderaan rasmi menteri yang dikatakan mengekori sebuah ambulans yang dalam perjalanan ke lokasi kemalangan di Kilometer 305, Lebuh Raya Utara-Selatan.

“Satu laporan polis berkaitan insiden itu telah dibuat. Berdasarkan siasatan awal, kenderaan itu dipandu seorang lelaki yang bekerja sebagai pemandu dan membawa menteri di dalamnya,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pihak polis telah mengambil keterangan pemandu itu hari ini dan akan memanggil saksi awam yang lain bagi membantu siasatan.

Katanya, bagi melengkapkan siasatan, pihaknya sedang mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) PLUS dan video papan pemuka ambulans berkenaan.

Jelasnya, siasatan kes itu dijalankan di bawah Peraturan 9 (2) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

“Kes ini masih lagi dalam siasatan, jadi kita minta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian, diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Deputi Superintenden Koo Boon Huat di talian 016-4173222,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN