KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) telah memfailkan saman fitnah terhadap Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr. Micheal Jeyakumar Devaraj berhubung pengusiran sekumpulan petani di kawasan tanah pertanian di Kanthan, Ipoh, Perak, tahun lalu.
Saman tersebut difailkan pada 31 Januari lalu di Mahkamah Tinggi di sini melalui firma guaman, Tetuan MahWengKwai & Associates.
Mengikut penyataan tuntutan yang diperoleh media hari ini, Jeyakumar yang dinamakan sebagai defendan didakwa telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah dalam satu sidang media yang diadakan pada 1 November 2023.
Rakaman sidang media tersebut telah disiarkan di dalam akaun Facebook “Parti Sosialis Malaysia”, TikTok “partisosialis”, Instagram “Parti Sosialis Malaysia” dan akaun X “@partisosialis” pada tarikh sama.
Kenyataan berbaur fitnah tersebut didakwa antara lain membawa maksud plaintif, PKNP telah mengingkari perintah penggantungan interim oleh mahkamah, mengeluarkan ladang di tanah-tanah walaupun terdapat perintah mahkamah serta tidak mempunyai integriti dan beroperasi melebihi undang-undang.
Plaintif berkata kenyataan berbaur fitnah itu menyebabkan bakal pelabur, rakan kongsi perniagaan serta rakyat Perak hilang keyakinan terhadap PKNP, menerima tindak balas negatif selain hilang kelebihan daya saing berbanding syarikat lain di Perak.
Bagaimanapun, pada 4 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh telah memutuskan bahawa PKNP tidak melanggar terma-terma perintah penggantungan interim dan menolak permohonan petani-petani itu untuk memulakan prosiding komital terhadap organisasi.
Sehubungan itu, PKNP memohon satu perintah supaya defendan dan PSM memadamkan kenyataan berbaur fitnah itu dan membuat permohonan maaf kepada plaintif.
PKNP juga memohon injunksi untuk defendan membuang kesemua video sidang media dan penerbitan semula di media sosial selain perintah untuk menghalang Jeyakumar dan PSM mengulangi, menerbitkan atau menyebabkan penerbitan kenyataan yang sama.
Turut dimohon ialah ganti rugi am, teruk dan teladan yang tidak dinyatakan jumlahnya serta kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN










