Peralihan kerajaan masih dalam kerangka perundangan

Peralihan kerajaan masih dalam kerangka perundangan

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pas berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan dan sebarang usaha pembentukan kerajaan selepas pilihan raya umum (PRU) masih dibenarkan melalui undang-undang tertinggi negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerangka perundangan yang tidak bercanggah harus dihormati termasuk jika berlaku peralihan kerajaan daripada sesuatu gabungan politik kepada gabungan yang lain.

“Sebarang perkara yang berlaku mestilah di dalam kerangka undang-undang. Hatta, apa yang berlaku sebelum ini pun dalam peralihan kerajaan masih di dalam kerangka undang-undang,

“Jadi, apa-apa kerangka perundangan yang tidak bercanggah harus dihormati. Kita tidak bolehlah kata ia melanggar peraturan pula. Apabila sesebuah kerajaan wujud dan Yang di-Pertuan Agong menerimanya, kita harus mengiktiraf.

“Namun, dalam perkara ini, kami tidak ada masalah dan pertikaian berhubung titah Agong. Kami menghormatinya,” katanya ketika ditemui di Parlimen, semalam.

Beliau ditanya mengenai titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat, Isnin lalu bahawa semua pihak supaya menerima kenya­taan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang dibentuk untuk mentadbir negara.

Dalam titah sulung selepas dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari lalu, Seri Paduka menegaskan tidak akan melayan sebarang permintaan mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan politik negara.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu bagaimanapun akur dan menghormati titah Seri Paduka yang mengingatkan semua pihak supaya menerima kenyataan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang dibentuk.

Mengulas lanjut, ditanya bagaimana pembangkang boleh menyumbang kepada kestabilan politik kerajaan dan negara ini, katanya, kerajaan terlebih dahulu harus memberi keadilan kepada pembangkang secara menyeluruh.

“Kestabilan ini tidak berlaku kepada pembangkang. Kerajaan yang perlu memberi keadilan. Jika menimbulkan polemik sehingga meresahkan rakyat dan tiada rancangan yang teratur, rakyat yang akan terkesan. Jadi, inilah kuncinya. Kerajaan harus berlaku adil,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×