Penghantar makanan didakwa khianat bakar kereta polis bantuan

Penghantar makanan didakwa khianat bakar kereta polis bantuan

MOHAMAD Hasif Syazani Zulkifle (tengah) dibawa ke Kompleks Mahkamah Petaling Jaya bagi menghadapi tuduhan melakukan khianat. UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang penghantar makanan yang tular membakar kereta polis bantuan dan menconteng perkataan jelik di hentian bas Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Mutiara Damansara, minggu lalu, mengaku tidak bersalah di mahkamah berasingan di sini hari ini atas pertuduhan melakukan khianat.

Mohamad Hasif Syazani Zulkifle, 26, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Dr. Syahliza Warnoh dan Majistret Farah Azura Mohd. Saad.

Di Mahkamah Sesyen, Mohamad Hasif didakwa melakukan khianat dengan api niat dengan membakar Proton Preve berwarna putih milik polis bantuan Prasarana.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Stesen MRT Mutiara Damansara di sini pukul 1.17 pagi pada 15 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Sementara di Mahkamah Majistret, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan menconteng dinding milik stesen itu di tempat sama pukul 1.10 pagi.

Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding di Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendakwa Raya Anis Hakimah Ibrahim mencadangkan jaminan RM15,000 manakala ketika di Mahkamah Majistret, Noor Khairun Nisa Noor Harun menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pihak pendakwaan juga turut memohon syarat tambahan tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan dan tertuduh melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Bagaimanapun peguam bela tertuduh, Kailash Sharma memohon jaminan minimum apabila menegaskan anak guam tiada risiko melarikan dan tiada rekod jenayah.

Tertuduh kemudian dibenarkan diikat jamin RM9,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua tuduhan dan syarat tambahan seperti dicadangkan pendakwaan.

Tarikh 21 Mac ini ditetapkan sebutan kes.

Pada 15 Februari lalu, media melaporkan seorang pekerja p-hailing ditahan selepas disyaki membakar kereta polis bantuan dan menconteng perkataan jelik di hentian bas di MRT Mutiara Damansara di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd. Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan polis mendapati tindakan suspek itu semata-mata mahu meraih tontonan tinggi di TikTok.

Semakan di akaun media sosial pula mendapati suspek telah memuat naik video kebakaran tersebut yang berdurasi lima saat di TikTok dipercayai akaun miliknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN