ALOR SETAR: Penganjur ‘Choii Underground Music Tour Kedah 2.0’ yang menimbulkan kontroversi kerana didakwa mengadakan konsert pada malam Nisfu Syaaban tampil membuat permohonan maaf kerana melanggar syarat ditetapkan.
Pemuda yang dikenali sebagai Faris Azrii berkata, isu yang berlaku tersebut adalah disebabkan kesilapan pihaknya yang terlepas pandang tentang perkara berkenaan.
“Apa yang berlaku ini memang tidak melibatkan mana-mana badan kerajaan dan memang salah pihak kami. Tidak melibatkan mana-mana kerajaan dan saya betul-betul mohon maaf kepada kerajaan Kedah.
“Tentang isu terkinja-kinja dan melompat-lompat itu juga saya mohon maaf kerana saya membawa hip hop ke bumi Kedah tapi kejadian ini pada hari Jumaat bukan Sabtu. Tapi kita juga adakan konsert dan itu kesalahan di pihak kami juga,” katanya melalui video di TikTok miliknya.
Tambahnya, pihaknya juga ada menganjurkan majlis berselawat selama kira-kira sejam sebelum konsert itu berlangsung dan mendakwa tidak tahu bahawa Kedah turut tidak membenarkan konsert seperti di Kelantan dan Terengganu.
Katanya, sebagai anak muda yang terlibat dalam dunia keusahawanan, dia tidak terlepas dengan kesilapan yang dilakukan secara tidak sengaja.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, konsert yang berlangsung di Taman Jubli Emas, di sini tidak mendapat kelulusan kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri tidak pernah menerusi mana-mana agensi di bawah pentadbiran ini memberi permit atau kelulusan untuk konsert itu diadakan.
“Memang benar ada permohonan dikemukakan kepada kerajaan negeri, namun dalam permohonan itu langsung tidak dinyatakan mengenai cadangan konsert atau pertunjukan pentas seperti itu,” katanya dalam kenyataan.
Mansor berkata, pihaknya hanya meluluskan permohonan penganjur untuk mengadakan karnival jualan dan acara-acara yang dibenarkan mengikut garis panduan kerajaan negeri.
“Justeru penganjuran konsert adalah tanpa kebenaran mana-mana agensi kerajaan negeri dan ini adalah satu pelanggaran syarat yang sangat serius oleh pihak penganjur.
“Kerajaan negeri akan memanggil penganjur untuk mendapatkan penjelasan berkaitan perkara itu dan akan memutuskan tindakan susulan mengikut undang-undang,” ujarnya.
Tambahnya, mana-mana pihak yang melanggar syarat setelah diberikan kelulusan untuk menganjurkan sesuatu acara akan disenarai hitam daripada terlibat dalam apa jua program di negeri ini pada masa akan datang. -UTUSAN










