Penganggur mengaku tak bersalah atas dua pertuduhan menipu

Penganggur mengaku tak bersalah atas dua pertuduhan menipu

AMRAN ketika tiba di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, di sini, hari ini atas dua pertuduhan menipu seorang lelaki dengan meminta wang berjumlah RM8,000 untuk menyelesaikan kes mahkamah enam tahun lalu.

Tertuduh, Amran Peaid, 68, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menipu lelaki berusia 49 tahun dengan mengaku kononnya akan menggunakan khidmat peguam yang dapat menyelesaikan pertuduhan mahkamah membabitkan kes dadah seorang lelaki lain berusia 50 tahun.

Dia didakwa dengan sengaja mendorong lelaki itu memindahkan wang sebanyak RM3,000 dan RM5,000 ke dalam akaun bank pihak ketiga.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 20 dan 30 September 2018 di Bank CIMB di George Town.

Atas pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rehab Abdul Shukur kemudiannya menawarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan beserta syarat tambahan iaitu menyerahkan dokumen perjalanan selain melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat pada setiap bulan.

Peguam tertuduh, K. Mahendran bagaimanapun merayu supaya ikat jamin minimum dikenakan terhadap anak guamnya kerana tertuduh menghidap penyakit jantung dan diabetes selain perlu menyara seorang anak berusia tujuh tahun.

Zulhazmi kemudiannya menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes kemudian ditetapkan pada 26 Mac depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN