KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan dikenakan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan jirannya yang masih di bawah umur, dua tahun lalu.
Hakim Mohd. Kafli Che Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 22 tahun (namanya tidak didedahkan) selepas lelaki itu menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan kes hari ini.
Mahkamah memerintahkan tertuduh yang belum berkahwin itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 3 Ogos 2023.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal termasuk mencium pipi kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun empat bulan (ketika kejadian) bagi tujuan seksual di kawasan tangga tingkat 11 di sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Sungai Besi pukul 3.30 petang pads 25 Jun 2022.
Justeru dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub memohon hukuman penjara dan sebat sebagai pengajaran dengan mengambil kira mangsa berusia lapan tahun.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam hanya merayu dikenakan hukuman ringan.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, ibu mangsa berusia 28 tahun mendapati anak perempuannya pulang ke rumah dalam keadaan tergesa-gesa dan ketakutan.
Apabila ditanya, mangsa memberitahu seorang lelaki memanggilnya ke arah tangga, kemudian terus mencium pipi dan merabanya.
Mangsa yang terkejut dan takut kemudian terus menolak lelaki itu dan berjaya melarikan diri.
Berikutan kejadian itu, ibu mangsa kemudian membuat laporan polis dan lelaki itu ditahan di hadapan sebuah surau pada 3 Ogos 2023. – UTUSAN










