Pengalaman mengajar Razzuan Rosli cara letak kadar bayaran berlakon - Utusan Malaysia

Pengalaman mengajar Razzuan Rosli cara letak kadar bayaran berlakon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Razzuan Rosli, memaklumkan sebelum ini pernah berdepan syarikat produksi ‘tahi hidung masin’ yang membayar rendah khidmat lakonannya.

Kata Razzuan disebabkan ketika dia masih baru menjadi pelakon, dia tidak membantah dan hanya akur dengan bayaran yang diberikan meskipun baginya tidak setimpal.

“Saya pernah dibayar RM100 untuk satu hari bagi sebuah watak sampingan yang kalau dirujuk kadar pasaran, pelakon watak sedemikian sepatutnya paling minima dibayar RM300 kerana berdialog.

“Tapi saya terima disebabkan waktu itu saya masih setahun jagung dan kurang berpengetahuan tentang kadar bayaran pelakon.

“Alhamdulillah, sekarang saya sudah tahu selok belok dunia pelakon dan maklum tentang kadar bayaran yang sepatutnya saya terima untuk sesuatu watak,” katanya.

Razzuan memulakan langkah dalam dunia lakonan sejak lebih 12 tahun lalu. Selain berlakon, dia juga berbakat dalam bidang nyanyian dan pernah merakamkan tiga buah lagu termasuk Akur, Aku Fighter dan terbaru, Cinta Kayangan.

Pelakon muda ini juga bersyukur kerana selepas beberapa tahun mencuba nasib, akhirnya kedudukannya dalam dunia seni semakin kukuh dan stabil.

“Saya gembira kerana selepas beberapa tahun akhirnya saya temukan kerjaya yang konsisten.

“Saya juga bersyukur kerana tahun ini banyak tawaran lakonan dan nyanyian yang saya terima. Meskipun projek yang saya terima tidaklah besar, tapi saya lega kerana ada kerja,” katanya yang tidak lama lagi bakal muncul dalam sebuah filem aksi pertamanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN