SHAH ALAM: Kerajaan digesa mengambil maklum nasihat Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor supaya membatalkan konsert Ed Sheeran yang disifatkan menyokong kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar dalam satu kenyataan berkata, kerajaan dilihat tidak serik apabila masih membiarkan artis luar negara yang terpalit dengan budaya songsang datang ke negara ini seperti kumpulan Coldplay pada tahun lalu.
“Mengapa mufti sangat risau dengan penganjuran konsert ini? Sudah tentu ada sebabnya Ed Sheeran merupakan seorang individu yang jelas menyokong budaya luar tabii iaitu LGBT.
“Mufti Pulau Pinang juga turut menyeru agar umat Islam memulaukan sebarang konsert yang menyanggahi syariat Islam dan mengingatkan umat Islam ditegah untuk bekerjasama dalam perkara yang membawa dosa dan maksiat seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran.
“Kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital digesa untuk menghormati fatwa dan pandangan para mufti yang sudah pasti memberikan pandangan hukum-hakam berkaitan syarak demi kebaikan kita umat Islam,” katanya.
Tambahnya, Dewan Pemuda PAS Selangor sebelum ini turut menentang keras penganjuran konsert band Coldplay yang terkenal dengan pembawaan LGBT.
Utusan Malaysia sebelum sebelum ini melaporkan, Menteri Komunikasi Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil memaklumkan konsert penyanyi dari United Kingdom kekal dianjurkan mengikut jadual pada 24 Februari ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Malah, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menegaskan penganjuran konsert tersebut tetap diteruskan walaupun mendakwa menerima baik pandangan diberikan Wan Salim.
Dalam pada itu, Mohamed Sukri menyatakan, kerajaan seolah-olah tidak peduli tentang pandangan mufti berkenaan penganjuran konsert tersebut serta sensitiviti dengan membiarkan penganjuran konsert melibatkan artis yang jelas pamer sokongan terhadap LGBT.
“Apa yang sangat dikesali, kerajaan Madani ini langsung tidak mempunyai sensitiviti dan sangat jinak untuk membiarkan penganjuran konsert melibatkan artis luar negara yang jelas mempamerkan sokongan mereka terhadap LGBT.
“Sikap membakulsampahkan pandangan mufti ini menunjukkan PH-BN sebenarnya tidak ikhlas memperjuangkan Islam di tanah air tercinta ini. Itulah hakikatnya.
“Rakyat Malaysia sungguh kecewa dengan pendirian PMX yang sebelum ini tidak ambil kisah dengan suara rakyat untuk membatalkan konsert Coldplay, malah lebih mengecewakan, PMX sendiri mengalu-alukan kedatangan Coldplay ke Malaysia. Adakah kerajaan sedang menormalisasikan sesuatu?” soalnya. – UTUSAN










