Konsert Ed Sheeran diteruskan seperti dijadual - Fahmi

Konsert Ed Sheeran diteruskan seperti dijadual – Fahmi

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penganjuran konsert artis antarabangsa, Ed Sheeran pada 24 Februari depan masih akan diteruskan seperti yang dijadualkan buat masa ini, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Menurut jurucakap Kerajaan Perpaduan itu, beliau juga telah merujuk mengenai perkara tersebut kepada Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL).

“Saya ada merujuk perkara ini kepada PUSPAL (dan) saya terima baik pandangan daripada Mufti Pulau Pinang (Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor) mengenai perkara ini.

“Namun, antara 16 agensi yang terbabit dalam perbincangan untuk memutuskan permohonan mana-mana persembahan artis luar negara melalui PUSPAL adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Sudah pasti saringan teliti dibuat oleh semua agensi ini, saya mohon supaya proses sedia ada ini (diikuti), kita ambil maklum pandangan tetapi kita ada prosesnya. InsyaAllah, kita akan teliti sekiranya perlu diambil (sebarang) tindakan,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pandangan Mufti Pulau Pinang yang memohon supaya kementerian berkenaan menghormati pandangan mufti yang menyatakan hukum syarak sebelum menganjurkan acara hiburan.

Menurut beliau, lebih-lebih lagi bagi larangan terhadap aktiviti golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang tidak menjadi ijtihad ulama tetapi berdasarkan nusus syar’iyyah yang disebut dengan jelas di dalam al-Quran dan hadis.

Kata Fahmi lagi, buat masa ini tiada sebarang perubahan kepada kelulusan permohonan untuk mengadakan konsert tersebut.

“Buat masa ini belum ada apa-apa perubahan kepada kelulusan yang diberi sebelum ini. (Adakah konsert masih boleh diteruskan?) Buat masa ini, ya,” ujarnya.

Dalam perkembangan berlainan, Fahmi berkata, Kerajaan Persekutuan akan mengadakan mesyuarat bersama kerajaan negeri Johor untuk menyelaras beberapa dasar bagi memastikan pembentukan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dapat dipercepatkan.

“Kerajaan pusat akan menyelaras beberapa perkara bersama dengan kerajaan negeri Johor dan beberapa mesyuarat akan dimulakan dalam masa terdekat, ini bagi menyelaras beberapa dasar di peringkat pusat dan negeri dan memastikan usaha untuk membentuk zon ekonomi khas ini dapat dipercepat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya