KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa masuk campur dalam persaingan antara industri teksi dan e-hailing sehingga menyebabkan pemandu teksi kini berhadapan kesukaran untuk meraih pendapatan yang boleh menampung kos kehidupan mereka.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata pemandu teksi hanya mampu memperoleh pendapatan sekitar RM800 ke RM1,000 sebulan disebabkan penumpang yang berkurangan.
Pemerhatian di beberapa lokasi utama seperti di Pasar Seni, pusat beli-belah, Pudu Sentral, Kuala Lumpur Sentral dan beberapa stesen Transit Aliran Ringan (LRT) mendapati pengguna lebih memilih menempah perkhidmatan e-hailing daripada menaiki teksi yang memang sudah sedia menunggu.
Pemandu teksi juga dilihat tidak lagi duduk setempat secara berkumpulan, sebaliknya menunggu di kawasan tumpuan secara bersendirian bagi mengelak persaingan.
Pemandu teksi, Salim Abu Bakar, 49, berkata, persaingan dengan pemandu e-hailing menyebabkan kumpulannya berhadapi kesukaran untuk meraih pendapatan yang dapat menampung kos kehidupan.
“Keadaan kami sangatlah teruk sekarang dengan banyak syarikat e-hailing, jumlah pelancong dan warga tempatan menaiki teksi pun sudah semakin berkurang.
“Pendapatan kami sangat tidak menentu, kadang-kadang terlampau rendah seperti RM800 sebulan selepas menolak kos sewa teksi, duit minyak dan sebagainya. Nak bayar kos tertentu untuk teksi pun terpaksa pakai duit tabung,” katanya ketika ditemui, di sini.
Seorang lagi pemandu teksi, Mansuri Yusof, 67, berkata, industri teksi kini seperti kehilangan nyawa dan hanya tunggu masa untuk jatuh susulan banyak pemandu yang kini berhenti disebabkan tidak lagi mampu menghadapi kerugian.
“Sekarang kalau bekerja lebih lapan jam sehari pun sukar untuk mendapatkan pendapatan RM100, kalau dapat pun belum campur kos wajib bayar seperti kos sewa teksi yang sekitar RM40 sehari.
“Memang kami amat memerlukan kerajaan untuk campur tangan supaya industri teksi tidak lenyap di dalam negara ini. Sekurang-kurangnya bantu kami bersaing dengan pemandu e-hailing,” jelasnya.
Sementara itu, Jamaluddin Abu Bakar, 60, berkata, terdapat persepsi negatif yang diterima oleh pemandu-pemandu teksi daripada pengguna ekoran individu tertentu yang bermasalah.
Jelasnya, persepsi itu menyebabkan kumpulan pengguna memilih tidak menggunakan perkhidmatan teksi dan lebih berminat menaiki e-hailing.
“Ada yang kata mereka mengalami situasi di mana pemandu teksi itu ala-ala samseng, ada yang kata penipu dan sebagainya tetapi adakah disebabkan individu tertentu kita boleh label semua pemandu teksi bermasalah? Itu tidak adil,” katanya.
Jamaluddin turut mengakui pemandu teksi kini tidak lagi berkeliaran seperti dahulu bagi berjimat dan mengurangkan kos harian yang perlu ditanggung.
“Sekarang memang teksi sudah berkurang, setiap kali saya ambil penumpang yang menunggu di tepi jalan mereka akan kata sukar untuk mendapatkan teksi sehingga terpaksa tunggu selama satu jam.
“Ini sebab teksi sudah tidak lagi berkeliaran, lebih baik duduk setempat supaya dapat jimatkan kos seperti tayar, petrol dan sebagainya. Penumpang pun sekarang lebih ramai menggunakan aplikasi, cumanya ini menyukarkan penumpang yang tidak mahir dalam menggunakan aplikasi,” jelasnya.
Tambahnya, kerajaan perlu mewujudkan situasi yang menang-menang untuk kesejahteraan pemandu teksi dan e-hailing. – UTUSAN










