DENGKIL: Seorang pemandu lori yang sebelum ini cedera akibat dibelasah 30 individu di Kampung Baru Dengkil pada malam Sabtu lalu mahu polis mengambi tindakan segera terhadap individu yang memukulnya itu.
Mangsa, Teo Chit Keong, 44, ketika ditemui berkata, ketika kejadian, dia bukan sahaja dipukul malah, turut diugut bunuh dengan senapang.
Katanya, walaupun sudah keluar dari lokap polis petang Isnin lalu, dia mengakui trauma dan bimbang akan diganggu lagi oleh individu berkenaan.
“Saya tinggal berdekatan dengan rumah individu berkenaan. Justeru, saya mahu polis segera mengambil tindakan bagi memastikan keselamatan saya sekeluarga terjamin.
“Saya juga tinggal bersama ibu dan ayah serta bapa saudara dan ibu saudara yang sudah lanjut usia. Mereka juga bimbang dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui semalam.
Selain itu, katanya, dia juga hairan kenapa polis turut menahan isteri, dua adik perempuan dan dua adik iparnya serta dimasukkan ke dalam lokap sedangkan mereka hanya saksi kejadian.
“Selepas saya buat laporan polis pada malam kejadian, polis meminta saksi hadir memberi kenyataan tapi yang peliknya mereka juga disumbat dalam lokap,” katanya.
Katanya, dia juga bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang memukulnya itu.
Dalam kejadian pada malam Sabtu lalu, mangsa dipukul 30 individu hanya kerana menegur kenderaan jirannya yang menghalang laluan keluar rumah.
Mangsa mengalami cedera di kepala, hidung dan lebam di muka akibat dipukul dengan topi keledar, batu bata dan batang pencuci lantai.
Akibat kejadian itu, 14 individu di tahan dan dimasukkan ke dalam lokap semalaman sebelum kesemuanya dibebaskan dengan jaminan polis petang Isnin lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika dihubungi mengesahkan kesemua mereka telah dibebaskan dengn jaminan polis.
Katanya, kertas siasatan kes akan dilengkapkan sebelum diserahkan kepada timbalan pendakwa raya bagi tindakan selanjutnya. – UTUSAN










