Pejabat daerah, PBT diarah pantau karnival, ekspo di Kedah - Utusan Malaysia

Pejabat daerah, PBT diarah pantau karnival, ekspo di Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri mengarahkan semua pejabat daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Kedah melakukan pemantauan terhadap karnival atau ekspo yang diluluskan oleh mereka.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Norizan Khazali, langkah itu perlu untuk memastikan insiden seperti konsert Choii Underground Music Tour Kedah 2.0 di Taman Jubli, di sini pada Sabtu lepas tidak berulang.

“Kita nampak ada keperluan untuk melakukan pemantauan dan penguatkuasaan kepada penganjur yang memperoleh lesen. Pemantau kena pergi tengok malam ini ada apa. Macam insiden ini dalam aturcara penganjur tak tulis dalam permohonan, dia tulis benda lain. Tak ada persembahan pun.

“Untuk masa depan saya minta penguatkuasa pantau, kena pergi tengok dari masa ke semasa. Pengeluar lesen pejabat daerah tapi PBT kena pergi sama-sama,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Akhbar ini melaporkan penganjur acara berkenaan menimbulkan kontroversi kerana mengadakan konsert pada malam Nisfu Syaaban selain tanpa permit.

Penganjur terlibat yang menggunakan akaun, Faris Azrii dalam satu hantaran di TikTok kemudian memohon maaf secara terbuka dengan mendakwa kesilapan di pihaknya kerana terlepas pandang isu tersebut.

Pada 2022, kerajaan negeri di bawah pentadbiran Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memutuskan untuk tidak membenarkan sebarang konsert hiburan ekoran aksi terkinja-kinja orang ramai pada satu acara berlangsung di hadapan Masjid Zahir.

Mengulas lanjut, tambah Norizan, kerajaan negeri akan memanggil pihak terlibat untuk menjalankan siasatan sebelum tindakan diambil.

“Di Kedah ini tak bolehlah langgar peraturan. Penganjur tidak mengikut garis panduan ditetapkan dan saya ingat tujuan pemohonan untuk jualan sahaja. Ada cadangan untuk senarai hitamkan (tetapi) kita akan panggil dahulu,” jelasnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×