GEORGE TOWN : Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) akan membangunkan tiga lagi taman perindustrian baharu di negeri ini dengan melibatkan jumlah pelaburan sehingga mencecah RM3.2 billion.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, taman perindustrian itu terdiri daripada Bandar Cassia Technology Park (BCTP) yang seluas 154.6 hektar; Batu Kawan Industrial Park 3 (BKIP3) (251.7 hektar) dan South Penang Science Park (SPSP) yang berkeluasan 70.5 hektar.
”Ketiga-tiga taman perindustrian ini mula dibangunkan pada 2022 dan dijangka lengkap (siap) sepenuhnya pada 2031 dengan pelaburan sebanyak RM3.2 billion. Pembangunan projek-projek baharu ini dijangka terus merancakkan pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang selepas ini,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri, di sini hari ini.
Kon Yeow yang juga Pengerusi PDC berkata, sehingga kini, sebanyak sembilan taman perindustrian dengan kira-kira 2,468.6 hektar kawasan telah berjaya dibangunkan oleh PDC termasuk Taman Perindustrian Bayan Lepas, Taman Perindustrian Perai, Taman Perindustrian Bukit Minyak, Penang Science Park (PSP) dan Taman Perindustrian Batu Kawan yang kesemuanya menempatkan sehingga 350 syarikat multinasional serta syarikat tempatan.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri turut mempelawa pemain-pemain industri hartanah untuk turut-serta dalam pembangunan taman perindustrian bersama PDC bagi membangunkan projek Taman Industri Batu Kawan 2 (BKIP2) yang seluas 226.5 hektar.
”Fasa 1 BKIP2 ini akan dibangunkan melalui kaedah perkongsian strategik dan lokasi ini merupakan kawasan pengambilan tanah PDC melalui kerajaan negeri ke atas tanah milikan persendirian dan sama sekali tidak melibatkan mana-mana kawasan milik Sime Darby Plantation (SDP),” katanya.
Tambah Kon Yeow, kaedah perkongsian strategik itu dilaksanakan dengan menjemput pemain-pemain industri hartanah untuk turut serta dalam pembangunan taman perindustrian bersama PDC melalui tender terbuka.
”Tender terbuka itu kini sedang diiklankan secara berperingkat iaitu peringkat pra kelayakan dan seterusnya panggilan permintaan cadangan (RFP) secara jemputan setelah nilaian prakelayakan itu selesai. Dokumen bagi RFP pula telah diiklankan mulai 8 Februari lalu iaitu selama enam minggu sehingga 21 Mac depan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow menjelaskan, pembangunan BKIP2 melalui kerjasama dengan pihak swasta itu adalah untuk mencapai beberapa tujuan antaranya bagi mempercepat penyediaan tapak-tapak tanah industri yang dapat ditawarkan kepada bakal pelabur di lokasi pilihan yang sesuai dengan bentuk perusahaan yang mereka jalankan.
“Penglibatan pihak swasta diyakini mampu membawa pendekatan dan konsep pembangunan taman perindustrian yang lebih baik setanding dengan negara-negara maju serta mampu menawarkan kepelbagaian ekosistem yang kondusif pada peringkat antarabangsa,” katanya.
Untuk rekod, Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang (PCCC) sebelum ini pernah meminta kerajaan negeri menjelaskan pemilihan UMECH Land Sdn Bhd sebagai sebagai rakan kerjasama untuk membangunkan tanah seluas 226.22 hektar di Byram, berhampiran tapak pelupusan sampah Pulau Burung dalam kawasan BKIP2.
Susulan itu, pada 17 Oktober tahun lepas, Lembaga Pengarah PDC memutuskan untuk menamatkan perjanjian usaha sama (JV) dengan UMECH Land Sdn Bhd berikutan perubahan struktur ekuiti syarikat berkenaan.-UTUSAN










