PATI lolos kesejukan, minta tolong dari pekerja Indonesia - Utusan Malaysia

PATI lolos kesejukan, minta tolong dari pekerja Indonesia

ALI Manto (kanan) dan rakannya menunjukkan kawasan ladang jambu, lokasi sekumpulan PATI yang datang meminta pertolongan daripada mereka di Kampung Senta dekat Bidor semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Sekumpulan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya yang ditangkap semula di sebuah ladang jambu di Kampung Senta dekat Bidor semalam, meminta pertolongan dalam keadaan menggigil kesejukan.

Seorang pekerja ladang kelapa sawit warga Indonesia, Ali Manto, 42, berkata, warga asing itu meminta perlindungan ketika mereka datang ke sebuah rumah di dalam ladang berkenaan sekitar pukul 5 petang.

“Ketika itu hujan lebat dan kami yang berada di rumah terdengar jeritan meminta tolong dari luar pagar. Apabila ditinjau, kami lihat ada sekumpulan lelaki dalam keadaan lesu dan kesejukan.

“Melihat keadaan mereka, kami dapat meneka yang mereka ini adalah tahanan yang melarikan diri. Kami pun tidak tanya apa-apa, terus sahaja beri roti dan air teh untuk mereka makan,” katanya ketika ditemui di ladang berkenaan di sini hari ini.

Menurut Ali, dia dan rakan-rakan telah sedia maklum mengenai PATI yang melarikan diri, malah Jabatan Imigresen juga ada meminta pertolongan agar melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menjumpai tahanan berkenaan.

“Sejak awal lagi pihak Imigresen sudah beritahu untuk bantu lapor jika melihat individu mencurigakan di kawasan kami. Jadi, apabila lihat sahaja 13 orang secara tiba-tiba minta bantuan, sudah tentu kami rasa curiga.

“Kami bantu polis dan Imigresen bukan sebab apa, kerana ini tempat kerja kami cari makan. Kami tidak mahu orang lain buat hal, semua pun akan susah,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pekerja warga Indonesia dikenali John, 30, berkata, pada awalnya kumpulan tahanan itu mengaku sebagai pekerja ladang dan melarikan diri kerana ditipu majikan.

Bagaimanapun ujarnya, tindakan itu tidak berjaya memperdaya mereka.

“Mereka pun tak banyak cakap mungkin sebab keletihan. Mereka hanya maklumkan telah dua hari tidur dalam hutan,” katanya.

Terdahulu, polis mengesahkan seramai 41 lelaki yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Bidor telah berjaya ditangkap dalam operasi bersepadu sejak Khamis lalu.

Jumlah yang direkodkan setakat pukul 2 petang itu melibatkan 39 etnik Rohingya dan dua warga Bangladesh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN