PARLIMEN: Undang-undang tangani jenayah tipu dalam talian sekarang macam basikal buruk - Azalina  

PARLIMEN: Undang-undang tangani jenayah tipu dalam talian sekarang macam basikal buruk – Azalina  

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Undang-undang bagi menangani jenayah penipuan dalam talian disifatkan seperti ‘basikal buruk’ yang menuntut kepada pindaan segera. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, banyak undang-undang negara digubal dan dilaksana sebelum 2010 yang dianggap terkebelakang. 

Sehubungan itu, katanya, kerajaan sedang merangka undang-undang baharu merangkumi peruntukan berhubung tatacara dan penguatkuasaan kill switch bagi meningkatkan keselamatan digital susulan ancaman jenayah penipuan.

“Terdapat keperluan segera bagi mewujudkan satu sistem kill switch melalui perundangan dalam memberhentikan penipuan dalam mana-mana domain atau platform dalam talian negara kita secara automatik.

“Sebenarnya, banyak undang-undang kita yang ada ini semuanya undang-undang ini adalah sebelum 2010. Maknanya, undang-undang kita ini agak lambat. Kalau berbanding macam kereta, ini betul-betul basikal buruk. 

“Inilah sebabnya undang-undang ini perlu dipinda bukan sahaja dari segi substantif, tetapi prosedur supaya kita dapat membantu kerajaan yang berhadapan dalam isu ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau berkata demikian semasa pertanyaan-pertanyaan menteri (MQT) bagi menjawab pertanyaan Suhaizan Kaiat [PH-Pulai] yang mahu kerajaan menjelaskan usaha dilakukan bagi mengatasi masalah penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.

Kata Azalina, proses merangka akta baharu itu dibuat secara terperinci dan jelas selaras dengan keperluan semasa dan perkembangan teknologi.

Katanya, kerajaan juga sedang melaksanakan peruntukan undang-undang lain seperti Akta Pencegahan Pengawalan Wang Haram dan Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan Hasil daripada Aktiviti Haram Kanun Keseksaan.

“Saya tidak menafikan perkhidmatan dalam talian mengubah kehidupan manusia masa kini termasuk membantu mewujudkan pelbagai peluang perniagaan.

“Saya tidak menolak ada dalam kalangan ahli Dewan Rakyat yang tidak terlepas daripada terjebak jenayah scam. Saya bimbang ruang siber bertukar menjadi lubuk jenayah dan giat dieksploitasi secara mudah oleh pihak tidak bertanggungjawab menyebabkan peningkatan dalam kes jenayah siber secara drastik,” katanya. 

Katanya, satu jawatankuasa cadangan penggubalan undang-undang baharu berkaitan tentang mudarat jenayah dalam talian dibentuk yang dipengerusikan beliau bersama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

“Objektif sebenarnya adalah mewujudkan sesi libat urus untuk mengenal pasti perundangan sedia ada hari ini, tidak seiring dengan perkembangan teknologi semasa dengan begitu pesat, menyebabkan penipuan dalam alam maya semakin berleluasa dan cepat dalam platform yang tidak selamat serta dicemari.

“Cabaran dicetus ekosistem siber sekarang seperti kewujudan kecerdasan buatan (AI) dieksploitasi dengan sikap tidak bertanggungjawab oleh sesetengah pihak dengan bertindak menyediakan perkhidmatan yang mementingkan keuntungan berbanding keselamatan awam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN