Pantai Teluk Batik diwarta lokasi larangan merokok - Utusan Malaysia

Pantai Teluk Batik diwarta lokasi larangan merokok

LOH Sze Yee (tiga dari kiri) mendengar penerangan mengenai peraturan larangan merokok di pantai Teluk Batik daripada Syamsul Hazeman Md. Salleh pada program di Lumut hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Pantai peranginan Teluk Batik di sini bakal diwartakan sebagai kawasan larangan merokok, sekali gus menjadi destinasi pelancongan pertama di Perak menguatkuasakan peraturan tersebut.

Penguatkuasaan itu dilakukan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Manjung yang mempunyai kuasa untuk mengenakan kompaun kepada individu yang merokok di kawasan diwartakan sebagai zon larangan merokok.

Pengerusi Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee, berkata bagaimanapun buat masa ini usaha mendidik dan memaklumkan kepada pengunjung mengenai larangan itu dilakukan terlebih dahulu, sebelum ia dikuatkuasakan sepenuhnya nanti.

“Sekarang masih di peringkat pendidikan, jadi sedang menaikkan papan tanda mengenai larangan itu manakala pegawai penguatkuasa MPM akan bergerak menasihati perokok agar tidak merokok di kawasan Teluk Batik.

“Adalah wajar kita beri pendidikan terlebih dahulu daripada tiba-tiba datang dan bagi kompaun dan sebagainya (kepada perokok) sehingga mereka terkejut,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Teluk Batik dan tandas awam baharu pantai itu serta pelancaran Kemampanan Eko Pelancongan Teluk Batik dan Kempen Ke Arah Bebas Asap Rokok di sini hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md. Salleh; Ketua Pengarah Operasi Tourism Perak, Zuraida Md. Taib dan Pegawai Kesihatan Daerah Manjung, Dr. Nur Intan Kartiniewatie Kamaruddin.

Menurut Sze Yee, Teluk Batik popular sebagai destinasi pelancongan berunsur kekeluargaan, justeru adalah wajar ia dijadikan kawasan yang bebas daripada asap rokok.

Beliau berharap menerusi kempen pendidikan sekarang, pengunjung akan memiliki disiplin dalaman dengan mengetahui sendiri bahawa mereka tidak boleh merokok apabila berada di Teluk Batik.

Maklumnya lagi, pihaknya akan melihat bagaimana sambutan masyarakat terhadap kempen tersebut sebelum membuat keputusan sama ada tindakan sama akan dilakukan di destinasi pelancongan lain di negeri ini.

“Kita akan lihat bagaimana ia dilaksanakan di pantai Teluk Batik sebelum ditambah baik dan mungkin diperluaskan di lokasi lain berkaitan pelancongan.

“Setakat ini, maklum balas orang ramai adalah baik dan bersetuju larangan itu dikuatkuasakan di pantai ini,” ujar beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN