KUALA TERENGGANU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang ahli perniagaan yang dikhuatiri lemas di Pantai Batu Buruk di sini diperluaskan dalam radius lima kilometer hingga ke kawasan pantai di daerah Marang.
Operasi hari kedua diteruskan pada pukul 7 pagi tadi dengan kekuatan 64 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi keselamatan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, dua anjing pengesan (K9) juga sudah tiba di lokasi pada pukul 8 pagi untuk membantu pencarian mangsa.
“Bagaimanapun, anjing pengesan tersebut belum boleh turun ke laut kerana ombak masih tinggi dan arus juga masih kuat.
“Hari ini, kita turut mendapat bantuan dari Unit Udara JBPM untuk membuat tinjauan udara sekitar 30 kilometer radius dari lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Semalam, Zulkarnain Mohamed Zubir, 44, dari Kuaka Lumpur dikhuatiri lemas kerana ditarik ombak ketika sedang bersiar-siar di Pantai Batu Buruk.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 pagi itu, isteri mangsa, Nora Elina Abdul Khalit, 44, dan dua anak mereka yang berusia sembilan dan 11 tahun sedang bermain pasir di pantai tersebut.
Isteri mangsa cuba berenang dan membaling pelampung untuk menyelamatkan suaminya namun gagal kerana arus yang sangat kuat menghanyutkan suaminya lebih jauh ke tengah laut.
Mengulas lanjut, Rozizah berkata, jumlah penyelam juga ditambah daripada empat orang sebelum ini kepada 18 orang hari ini untuk melancarkan lagi pencarian.
“Rondaan di kawasan darat telah dijalankan dari pagi semalam hingga ke pagi ini tanpa henti dan diteruskan lagi hingga ke muara Kuala Ibai serta sekitar Marang oleh BBP Marang.
“Kita juga mendapatkan bantuan unit dron APM dari ibu pejabat Kuala Lumpur untuk membuat pemantauan di lokasi-lokasi tertentu.
“Selain itu, tiga bot dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Marin dan bomba juga akan membuat rondaan di tengah laut untuk mencari mangsa,” katanya. – UTUSAN










