Op Selamat 21 Raya Cina: 11 lokasi perangkap had laju

Op Selamat 21 Raya Cina: 11 lokasi perangkap had laju di Selangor 

HUSSEIN OMAR KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Sebanyak 11 lokasi perangkap had laju di sekitar Selangor ditetapkan dalam Op Selamat 21 sempena Perayaan Tahun Baharu Cina bermula Khamis ini sehingga 13 Februari depan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, seramai 61 pegawai kanan dan 432 anggota selain pelbagai aset kenderaan membabitkan 42 kereta dan 89 motosikal akan digerakkan dalam operasi tersebut.

Menurutnya, selain lokasi perangkap had laju ini, Polis Selangor turut melaksanakan Op Lancar di beberapa lokasi di lima daerah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Daerah tersebut membabitkan Gombak, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Serdang dan Klang Utara melibatkan Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak di Plaza Tol Gombak, Jalan Kuala – Ipoh di Kilometer 30, Jalan Klang – Teluk Intan, Pekan Kuala Selangor ke Tanjung Karang dan Jalan Kuala Selangor – Rawang (lampu isyarat susur Lebuh Raya Kuala Lumpur – Kuala Selangor).

“Turut terlibat, Jalan Kuala Lumpur – Ipoh (lampu isyarat di Batang Kali) dan Klang – Teluk Intan di Pekan Kapar serta di Plaza Tol Sungai Besi di Serdang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen dan Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baru Cina 2024 di Plaza Tol Puchong Selatan, di sini hari ini.

Menurut Hussein, objektif operasi selama enam hari itu bagi kelancaran lalu lintas dan pematuhan agar jalan raya selamat selain memastikan pengguna jalan raya selamat tiba ke destinasi.

Menurutnya, selain itu, Op Selamat 21 ini juga akan melaksanakan rondaan berkala secara berterusan di setiap daerah terutama di lokasi panas dan titik hitam.

“Blackspot adalah kawasan yang mencatat kemalangan maut lebih tiga kes, manakala hotspot ialah kawasan sesak.

“Operasi ini turut melibatkan elemen khas seperti dron dan helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk pantau titik-titik kesesakan selain kerjasama kita dengan konsesi lebuh raya menerusi rakaman kamera serta agensi penguat kuasa lain,” ujarnya.

Beliau menyeru orang ramai boleh menyalurkan maklumat sekiranya berlaku kemalangan dan kecemasan.

“Hubungi bilik gerakan Trafik Bukit Aman di talian 03-22663356, hotline bilik gerakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor 03-55100559 atau hotline CCC Selangor 03-55145206,” katanya.

Mengulas lanjut, kata beliau, aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) juga digalak untuk diguna oleh masyarakat yang meninggalkan kediaman ketika musim perayaan ini.

“Isi butiran ini di VSP secara online atau ke balai berdekatan mengenai maklumat rumah yang ditinggalkan agar kita dapat menyusun tugasan secara berkala dengan laksana rondaan lebih kerap bagi menutup segala ruang daripada berlaku kes pecah rumah dan sebagainya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini