OKT meninggal dalam lokap, polis sahkan tiada unsur jenayah 

OKT meninggal dalam lokap, polis sahkan tiada unsur jenayah 

MOHAMED USUF JAN MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Polis hari ini mengesahkan bahawa seorang lelaki yang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) atas kesalahan dadah sebelum ini telah meninggal dunia.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, lelaki berusia 46 tahun itu ditemukan tidak sedarkan diri kira-kira pukul 4 petang, semalam.

Katanya, lelaki berkenaan yang juga orang kena tahan (OKT) telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk bedah siasat.

”Laporan bedah siasat mendapati, lelaki ini meninggal dunia kerana ulser dalam perutnya pecah dan pemeriksaan juga mendapati, kematian OKT tidak mempunyai unsur jenayah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Terdahulu kata beliau, OKT telah ditahan pada 8 Februari lalu di bawah Seksyen 39 (a) (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dia (OKT) ditahan bersama tiga rakannya di Sungai Dua bersabit kes dadah dan sepatutnya direman sehingga 16 Februari. Bagaimanapun, Isnin lalu, OKT ada memaklumkan bahawa dia mengalami sakit di bahagian perut.

“Susulan itu, polis juga telah membawa lelaki terbabit ke HKB untuk rawatan dan selepas pemeriksaan serta diberi ubat, OKT dibenarkan balik semula ke lokap,”katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×