SHAH ALAM: “Itu bukan nama sebenar Musa.”
Demikian respons suami penyanyi Mizz Nina, Essam Muhammad, 31, berkenaan nama sebenar anak angkatnya yang pernah didedahkan oleh penyanyi, Noh Salleh, 39, sebelum ini.
Essam mendakwa Noh telah menyebarkan maklumat yang salah kepada umum menerusi tindakannya itu.
“Saya di sini ingin menegaskan bahawa nama penuh Musa yang kononnya disebut di Internet tempoh hari adalah tidak benar.
“Dia (Noh Salleh) telah memberikan informasi yang salah kepada semua.
“Namun begitu, saya enggan mendedahkan nama penuh sebenar Musa kerana ingin melindungi identiti dan maklumat peribadinya kepada umum,” katanya.
Essam ditemui Utusan Malaysia pada prosiding sulh di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di sini, hari ini.
Menerusi sebuah komen di Instagram, bekas suami kepada Mizz Nina itu pernah mendedahkan kononnya nama penuh anak angkatnya itu ialah Musa Mohammad Noh bin Abdullah.
Dalam masa yang sama, Essam menegaskan pihak isterinya, Shazrina Azman, 44, memiliki dokumen hak penjagaan yang sah.
“Isteri saya mempunyai dokumen yang sah untuk menjaga Musa. Saya di sini mewakili isteri saya iaitu Mizz Nina ingin menegaskan bahawa tiada seorang anak pun yang patut diambil daripada penjaga tanpa keizinan daripada ibu bapanya.
“Bukan itu sahaja, pihak defendan (Noh) juga telah mendedahkan nama sebenar ibu kandung Musa kepada umum menerusi kenyataan permohonan maafnya.
“Tiada ibu kandung yang mahu satu Malaysia tahu bahawa dia telah menyerahkan anaknya sendiri kepada orang lain. Perbuatan itu sangat memalukan dan tidak beretika,” tambahnya.
Penyanyi rap berkenaan dalam pada itu meminta Noh agar berhubung secara langsung dengannya di Instagram selepas ini.
“Kalau dia mahu berkomunikasi dengan ahli keluarga saya termasuk Nina, saya adalah mahramnya.
“Jangan cari isteri saya, carilah saya. Kalau dia mahu berkomunikasi dengan saya, media sosial saya masih publik,” tambahnya.
Sebelum ini, penyanyi Angin Kencang itu mencuri perhatian apabila mendedahkan nama penuh anak angkatnya itu di Instagram.
Terdahulu, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada Julai 2011, namun, bercerai pada Ogos 2022 dan mereka tidak dikurniakan anak.
Kini, Noh dan Mizz Nina sudah mendirikan rumah tangga kali kedua dengan pasangan pilihan masing-masing.










