Najib: KDN tiada kuasa umum keputusan Lembaga Pengampunan

Najib: KDN tiada kuasa umum keputusan Lembaga Pengampunan

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tiada kuasa untuk mengumumkan keputusan Lembaga Pengampunan mengenai kes rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mesyu­arat jemaah menteri semalam ada dimaklumkan mengenai keputusan pengampunan terhadap Najib tetapi hanya sepintas lalu.

“Tetapi bukan Kabinet yang ada bidang kuasa untuk umum keputusan Lembaga Pengampunan itu.

“Kita bincang tetapi kita faham bahawa ini di bawah bidang kuasa Lembaga Pengampunan.

“Lembaga Pengampunan ini seperti Perlembagaan. Malah, ia dijelaskan secara terperinci di bawah bidang kuasa siapa dan keanggotaannya bagaimana,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini, semalam.

Ditanya siapa yang mempunyai kuasa untuk mengumumkan keputusan Lembaga Pengampunan itu, Saifuddin berkata, ia bukan di bawah bidang kuasanya.

“Oleh kerana bukan di bawah bidang kuasa saya, saya tidak boleh umum dan tak boleh cakap bagi pihak Lembaga Pengampunan,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonanya untuk menyemak semula sabitan dan hukuman dikenakan terhadapnya berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang kesimpulan sendiri berhubung isu keputusan Lembaga Pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri tersebut.

“Kita ada bincang tetapi perkara yang khusus berkaitan Lembaga Pengampunan itu akan diselaraskan oleh Lembaga Pengampunan sama ada mengenai kenyataan dan sebagainya,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau sekali lagi mengulangi bahawa semua pihak termasuk media tempatan dan luar negara harus menunggu kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Lembaga Pengampunan.

Fahmi turut mengakui beliau ada bertemu dengan wartawan media asing, namun menafikan menjadi sumber kepada laporan berkenaan.

Hari ini, sebuah media asing me­laporkan, hukuman penjara 12 tahun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas tuduhan rasuah dikurangkan kepada enam tahun oleh Lembaga Pengampunan.

Media berpangkalan di Singa­pura itu juga melaporkan, keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan denda RM210 juta (AS$44.4 juta) kepada jumlah yang tidak ditentukan jumlahnya.- UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN