JIWANYA terhadap makhluk tuhan bernama kucing begitu menebal.
Sekiranya direzekikan menjadi kaya, setiap kucing jalanan yang terdampar mahu diselamatkan.

Begitu kuat kasih sayang Nadia Azam, 40, terhadap si bulus. Baginya, menyelamatkan kucing jalanan adalah amal jariah dan ladang pahala paling besar perlu diraih buat semua pencinta haiwan.
“Kalau boleh memang saya nak kutip semua kucing jalanan. Tetapi kekangan masa, bajet serta ruang kediaman pangsapuri, membataskan keinginan itu.
“Kalau ada tanah halaman sendiri, memang impian saya mahu mendirikan zoo khusus kucing,” katanya kepada Seri.
KENA LANGGAR
Nadia sebenarnya sudah lama meninggalkan hobi membela kucing.
Kali terakhir beliau membela si bulus adalah sewaktu menuntut di universiti sekitar 2004.
“Waktu itu, saya tinggal di asrama. Ada ahli keluarga sesuka hati bagi kucing saya kepada orang lain, atas alasan tiada siapa berkelapangan hendak uruskan kucing di rumah.
“Bila dapat tahu kucing saya mati dilanggar, saya bertambah sedih. Rasa seperti hilang anak kerana ia adalah kucing kesayangan saya,” luahnya.

Di sebalik kesedihan, ada sisi menarik mengenai kucing peliharaannya apabila ada juga individu yang mahu menjaga kucingnya dengan penuh kasih sayang.
“Ada juga individu lain yang ambil kucing saya, tetapi begitu komited menjaga sehingga cantik dan gebu-gebas bulunya.
“Sehingga ke akhir hayat, mereka menjaga kucing itu seikhlas hati,” katanya yang kini memiliki enam kucing jalanan.
JIWA BESAR
Minat membela kucing datang kembali selepas Nadia bekerja dan tinggal di rumah sendiri sekitar 2019.
Ketika itu, katanya, beliau sering melihat anak-anak kucing merayau-rayau mencari makanan di kawasan rumah .
Lebih-lebih lagi, kongsinya, selepas melihat momen ibu kucing yang diberi nama Puteh begitu dedikasi menjaga anaka-naknya.
“Saya buat keputusan bawa balik kesemua kucing berkenaan. Sejak itu, asal nampak kucing, mesti akan bawa balik rumah.
“Selepas itu, saya ambil Oleng iaitu sejenis anak kucing yang baru berusia sebulan tetapi kehilangan ibu. Bimbang kalau ia mengiau tengah malam akan menarik perhatian anjing liar,” katanya yang sentiasa menyimpan makanan kucing dalam kereta.
HIDAP KANSER

Pengorbanan besar Nadia ternyata diuji ketika kesemua kucing yang dibela diuji sakit seperti menghidap kanser, jangkitan kuman di paru-paru, put to sleep (PTS) dan Feline Infectious Peritonitis (FIP).
“Oleng (salah seekor kucing) disarankan oleh doktor supaya put to sleep (PTS) kerana kondisinya seperti mayat hidup. Kalau berdiri, ia tumbang, makan pun tak lalu, kencing merata-rata sebab antibodi sudah lemah. Akhirnya, ia mati.
“Cabaran besar bela kucing liar ini adalah penyakit, terutamanya kalau belum divaksin boleh berisiko dijangkiti virus parvo.
“Jadi, saya perlu pakai sarung tangan serta baju perlu dibasmin kuman guna Clorox supaya tak berjangkit pada kucing lain,” jelasnya.
Armani, kucing jalanan miliknya diuji dengan jangkitan kuman di paru-paru yang boleh menyebabkan asma.
Katanya, ketika itu, beliau hanya berulang-alik membawa Armani ke klinik veterinar sedangkan kondisinya tidak berubah.
“Beribu juga saya berhabisan sebab asalnya tidak tahu apakah punca hidungnya meleleh dan kerap bersin.
“Silap saya juga sebab tak bawa terus ke hospital veterinar. Sekarang, Armani perlu bergantung hidup dengan memakai inhaler setiap hari. Kalau tak pakai, ia akan bersin berulang kali,” katanya.










