Musa bukan anak dia - Noh Salleh tuntut hak penjagaan sama rata - Utusan Malaysia

Musa bukan anak dia – Noh Salleh tuntut hak penjagaan sama rata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Penyanyi, Noh Salleh hanya mahu mendapatkan hak penjagaan sama rata ke atas anak angkatnya, Musa.

Kata Noh atau nama sebenarnya Muhammad Noh Salleh, 39, justeru tuduhan dia menculik kanak-kanak tersebut seperti didakwa pihak Mizz Nina sebelum ini adalah tidak benar.

“Saya sudah dapat surat penyerahan daripada ibu kandung Musa dan Nina tak boleh mendakwa saya menculik Musa. Kalau saya culik, pasti saya akan sorokkan dia.

“Saya pergi Sabah sebab ada persembahan dan saya tunjuk Musa ada dengan saya.

“Saya juga ada mencari Nina dan ajak dia berbincang untuk menjaga Musa bersama-sama,” katanya.

Noh ditemui Utusan Malaysia di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Shah Alam bagi prosiding Sulh di sini, pagi tadi.

Tegas penyanyi Angin Kencang itu lagi, dia tidak bermaksud untuk campur tangan urusan rumah tangga orang lain sebaliknya hanya mahu Musa dijaga sama rata.

“Kalau boleh nak jaga sama-sama, mahu 50-50.

“Ada sebab saya buat benda ini. Saya takkan suka-suka nak masuk campur hal rumah tangga orang.

“Semua untuk kebaikan Musa. Musa bukan anak dia (Nina),” jelasnya yang diwakili dua orang peguam iaitu Megat Syazlee Mokhtarom dan Muhammad Shamsyuar Jasmin.

Hari ini, peguam mewakili Nina selalu plaintif iaitu Fakhrul Azman memaklumkan prosiding Sulh tidak berlangsung susulan Nina telah menarik semula kes penjagaan penuh bagi anak angkatnya, Musa dan Inter-parte bagi hak penjagaan sementara.

Nina bagaimanapun tidak hadir bagi prosiding hari ini sebaliknya diwakili suaminya iaitu Essam Muhammad.

Terdahulu, Nina mendakwa Noh membawa keluar anak angkatnya, Musa tanpa kebenaran dan pengetahuan pihaknya.

Nina sebelum ini mendakwa kejadian anaknya dibawa keluar dari rumah berlaku pada 19 Disember tahun lalu, ketika dia dalam penerbangan ke Tokyo, Jepun atas urusan kerja.

Noh dalam kenyataan kepada media pula berkata, tiada langsung unsur penculikan seperti yang didakwa, malah sudah mendapatkan kebenaran ibu kandung Musa untuk menjaga kanak-kanak itu.

Vokalis kumpulan Hujan itu kemudian tampil membuat permohonan maaf secara terbuka selepas dituntut ibu kandung, Musa, yang hanya mahu dikenali sebagai Athira.

Noh, 39, menerusi hantaran di Instagram (IG), berkata, dia juga akan mengikut beberapa tuntutan lain seperti menarik balik kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini termasuk memadam gambar Musa di media sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN