Mizz Nina tarik balik kes hak penjagaan Musa - Utusan Malaysia

Mizz Nina tarik balik kes hak penjagaan Musa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Aktivis kemanusiaan dan bekas penyanyi, Mizz Nina hari ini memutuskan untuk menarik balik kes penjagaan penuh dan inter-parte bagi hak penjagaan sementara anak angkatnya, Musa.

Mizz Nina selaku plaintif yang diwakili peguam, Fakhrul Azman Abu Hassan berkata tiada proses sulh berlangsung hari ini dan esok pihaknya akan kembali untuk mengesahkan perkara itu kepada hakim.

“Esok kes itu akan disebut di hadapan hakim untuk mengesahkan penarikan balik. Itulah perjalanan kes kami hari ini.

“Jadi tiada sulh sebentar tadi sebab kami sudah memfailkan penarikan balik dan sulh dibatalkan sebab pihak plaintif (Mizz Nina) tidak ingin meneruskan tindakan,” kata Fakhrul yang ditemui Utusan Malaysia di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam di sini pagi tadi.

Kelibat Mizz Nina bagaimanapun tidak kelihatan sebaliknya dia diwakili suaminya
Essam Muhammad dan seorang lagi peguam, Mahmud Abdul Jumaat.

Tambah Fakhrul, dalam kes ini pihaknya sudah mendapatkan hak penjagaan sementara.

“Kami buat hak penjagaan sementara itu selepas anak tersebut kita anggap sebagai dilarikan pada 19 Disember tahun lalu. Mizz Nina dalam perjalanan pulang ke rumah mendapati anaknya tiada.

“Jadi mereka membuat laporan polis dan sebagainya, tapi anak masih tidak dapat diserahkan dan disebabkan itu kita memasukkan permohonan ex-parte dan mahkamah sudah memberikan hak penjagaan sementara kepada Mizz Nina.

“Kita usaha dalam lima hingga tujuh hari untuk mendapatkan tempat tinggal anak tersebut sebab segala hubungan untuk mendapatkan dia sudah disekat.Tapi kami berjaya mendapatkan anak itu dengan bantuan pihak polis melalui perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah,” katanya lagi.

Tambahnya Fakhrul lagi, sebenarnya pada 20 Februari 2023, Noh sudah bersetuju memberikan anak angkat itu untuk dijaga sepenuhnya oleh Mizz Nina.

“Tapi kita tak tahu kenapa pada Disember lalu dia pergi ambil anak tersebut.

“Bila kita sudah dapat anak selepas ex-parte dikeluarkan, proses pengangkatan itu sudah dilaksanakan dan semalam sudah disahkan bahawa penjagaan anak tersebut iaitu Musa diberikan sepenuhnya kepada Mizz Nina,” katanya.

Menjawab dakwaan Noh bahawa Musa diletakkan di bawah penjagaan mereka bersama, Fakhrul berkata ibu kandung Musa sudah menyerahkan Musa sepenuhnya kepada Mizz Nina.

“Memang sebelum itu pada 20 Februari 2023 lalu dia memfailkan akuan berkanun iaitu menyerahkan anak tersebut kepada Mizz Nina dan kemudian tiba-tiba dia memfailkan lagi untuk membatalkan akaun berkanun itu sebelum diserahkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Tetapi bila ibu kandung Musa sudah membuat surat yang mengesahkan mahu memberikan anak itu kepada Mizz Nina seorang, jadi JPN tak ambil kira akaun berkanun yang dia hantar.

“Jadi secara rasmi ibu kepada Musa adalah Mizz Nina seorang,” katanya.

Prosiding itu turut dihadiri Noh ditemani dua peguamnya, Muhammad Shamsyuar Jasmin dan Megat Syazlee Mokhtarom.

Terdahulu, Nina mendakwa Noh membawa keluar anak angkatnya, Musa tanpa kebenaran dan pengetahuan pihaknya.

Mizz Nina atau nama sebenarnya, Shazrina Azman, 44, mengakui perkara yang disifatkan sebagai satu pengkhianatan itu memberikan kesan emosi padanya apatah lagi dia adalah ibu susuan kepada Musa dan tidak pernah berjauhan dengan Musa selama itu.

Nina berkata kejadian anaknya dibawa keluar dari rumahnya berlaku ketika dia dalam penerbangan menuju ke Tokyo, Jepun atas urusan kerja.

Nina kemudiannya mendapatkan perintah mahkamah dan berjaya mendapatkan Musa kembali.

Bagaimanapun, Noh atau nama sebenarnya, Mohammad Noh Salleh, 39, sebelum itu membuat kenyataan di program Melodi bahawa tiada langsung unsur penculikan seperti yang didakwa, malah sudah mendapatkan kebenaran ibu kandung Musa untuk menjaga kanak-kanak itu.

Kemudiannya, vokalis kumpulan Hujan itu tampil membuat permohonan maaf secara terbuka selepas dituntut oleh ibu kandung kepada anak angkatnya, Musa, yang hanya mahu dikenali sebagai Athira.

Noh, 39, menerusi hantaran di Instagram (IG), berkata, dia juga akan mengikut beberapa tuntutan lain seperti menarik balik kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini termasuk memadam gambar Musa di media sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN