SANDAKAN: Cubaan menyeludup keluar minyak masak bersubsidi ke negara jiran berjaya ditumpaskan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Sandakan pada Ahad.
Pengarah Zon Maritim Sandakan Kepten Maritim Zainudin Mohd. Zuki berkata, rampasan itu membabitkan tiga kotak berisi 510 peket minyak masak bersubsidi dengan anggaran keseluruhan termasuk bot dan enjin bernilai hampir RM11,000.
Beliau berkata, semasa pasukan Maritim melalukan rutin rondaan berhampiran Pulau Berhala kira-kira pukul 10.20 malam, didapati sebuah bot tanpa pengendali berada di pesisir pantai pulau berkenaan.
Bot tersebut dipercayai ditinggalkan tanpa pengendali setelah menyedari kehadiran anggota penguat kuasa yang sedang melakukan rondaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut membawa muatan 30 kotak besar berisi 510 paket minyak masak bersubsidi seberat satu kilogram setiap peket dan disyaki untuk diseludup keluar ke negara jiran.
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk minyak masak bersubsidi, bot dan enjin sangkut berjumlah kira-kira RM11,000,” katanya dalam satu kenyataan.
Kesemua rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya.
Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik bot, dalang serta pelaku di sebalik kegiatan penyeludupan tersebut dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – UTUSAN











