PETALING JAYA: Polis mengesahkan lelaki yang meninggal dunia disyaki akibat dipukul dengan tangannya diikat di Taman Pelangi, Semenyih 2 dekat sini Selasa lalu, positif dua jenis dadah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa berusia 42 tahun itu didapati positif dadah jenis methamphetamine dan ganja.
“Semakan dilakukan juga mendapati mangsa mempunyai 10 rekod berkaitan dadah selain dikehendaki atas kesalahan dadah,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, semalam.
Susulan kes itu, Hussein berkata, dua lagi individu masing-masing berusia 22 tahun dan 39 tahun ditahan di Kajang, kelmarin, dipercayai terlibat dalam kejadian itu.
“Akan ada lagi suspek dijangka ditahan dan kita juga sudah menerima laporan dibuat oleh dua pemilik kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu.
“Difahamkan ketika kejadian, mangsa melanggar dua kenderaan lain sebelum ditemukan meninggal dunia dipercayai akibat dipukul,” katanya.
Beliau berkata, polis masih menyiasat motif kejadian itu selepas hasil bedah siasat dilakukan mendapati tiada kecederaan ketara pada mangsa yang menyebabkan kematian.
Terdahulu, media melaporkan, seorang lelaki tempatan disahkan maut disyaki dipukul serta diikat sekumpulan lelaki di kawasan Taman Pelangi Semenyih 2, Selasa lalu.
Pemandu kereta jenis Proton Saga berusia 42 tahun itu dibelasah selepas mengakibatkan kemalangan jalan raya di kawasan berkenaan sebelum ditemukan dalam keadaan terbaring atas jalan dan terdapat kesan pergelangan tangan seperti diikat.
Susulan itu, polis menahan lima lelaki 22 hingga 52 tahun bagi membantu siasatan kes tersebut, Rabu lalu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Bahagian Trafik turut membuka siasatan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menggesa orang ramai supaya tidak menyebar video kejadian itu.
SKMM dalam satu kenyataan memaklumkan, perkongsian rakaman video mangsa melanggar prinsip dan etika asas dengan penggunaan grafik berkaitan kemalangan dan kekerasan yang boleh menimbulkan kegelisahan penonton.
“Sebagai garis panduan berkenaan penciptaan kandungan, rujukan boleh dibuat melalui Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
“Sebarang perkongsian melibatkan video atau kandungan melibatkan mangsa boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” katanya. – UTUSAN










