Masjid Lama Kuala Gali kekal utuh 191 tahun

Masjid Lama Kuala Gali kekal utuh 191 tahun

HASMANIZAM Osman (dua, kanan) bersama penduduk di hadapan Masjid Lama Kuala Gali yang masih tersergam indah di Kampung Kuala Gali di Raub, Pahang. - UTUSAN/NORFARHIZA MOHD. ATAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Walaupun berusia lebih 190 tahun, Masjid Lama Kuala Gali atau turut dikenali sebagai Masjid 100 Tahun di sini kekal utuh dan masih digunakan untuk program keagamaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Masjid Lama Kuala Gali, Mat Isa Mat Nor, 73, berkata, masjid itu dibina secara gotong royong sekitar 1833 dan tidak menggunakan paku serta hanya dipasak.

“Saya pernah mengaji di sini sekitar 1958 dan menurut cerita orang dahulu, gajah digunakan untuk menarik kayu-kayu dari dalam hutan bagi membina masjid ini.

“Antara kayu keras yang digunakan adalah dari jenis cengal dan keruing. Oleh sebab itu juga masjid ini masih tersergam indah kerana ia tahan daripada serangan anai-anai,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Seorang penduduk, Abdul Jalil Ali, 70, berkata, biarpun terletak berhampiran sungai, masjid itu tidak pernah terjejas teruk oleh banjir.

Menurutnya, beberapa penambahbaikan dilakukan khususnya di bahagian beranda dan tandas, namun struktur binaan lama tidak diusik dan ia kekal hingga kini.

“Suatu ketika dahulu masjid ini menjadi tumpuan utama penduduk bagi menunaikan solat dan aktiviti keagamaan lain.

“Namun, seiring dengan pembangunan, pada 1965 sebuah masjid baharu dibina berdekatan dengan jalan utama dan segala aktiviti keagamaan berpindah ke masjid baharu tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kuala Gali, Hasmanizam Osman berkata, dalam tempoh penularan pandemik Covid-19, rumah ibadah terbabit pernah terbiar selama dua tahun.

Menurutnya, beliau kemudiannya memohon peruntukan daripada kerajaan negeri berjumlah RM70,000 bagi tujuan baik pulih dan keceriaan masjid berkenaan.

“Bagi mengimarahkan masjid, pelbagai program keagamaan dihidupkan seperti penganjuran kuliah agama. Ini juga usaha bagi membolehkan generasi akan datang dapat memanfaatkan rumah ibadah ini,” katanya.

Tambahnya lagi, Masjid Lama Kuala Gali turut menjadi warisan sejarah kampung itu dan digunakan penduduk sebagai pusat kegiatan masyarakat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×