MASJID Jamek Berkembar Haji Mat Saman terletak di Kajang, Selangor memiliki sejarah panjang, sekukuh usianya yang kini menjangkau 95 tahun.
Dibina sejak 1929, lokasinya betul-betul berada di pinggir Sungai Ramal, iaitu pangkalan tempat persinggahan melalui jalan sungai sebelum jalan secara sempurna dibina dari Kajang ke Serdang.

Sebagai tempat pertemuan perjalanan dan perniagaan, maka inisiatif diambil tokoh pemimpin semasa itu, iaitu Haji Mat Saman mendirikan masjid di tapak sekarang bagi kegunaan penduduk kampung mendirikan solat serta kewajipan solat Jumaat.
Sudah tentu dalam usia hampir seabad, masjid ini mengalami penambahan dan pembaikan hingga menjadi bentuk sebagaimana kini.
Difahamkan, masjid ini dibina di tepi tebing sungai Ramal bagi memudahkan ahli jemaah mengambil wuduk dari Sungai Ramal tersebut.
Walaupun Masjid Sungai Ramal Luar baharu dibina bersebelahan tapak masjid lama, Nazirnya, Ahmad Kidzbullah Riduan berkata, rumah Allah yang tersergam indah ini tetap dikekalkan.
“Pada asalnya masjid lama ingin dirobohkan, tetapi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengambil keputusan mengekalkan struktur sedia ada yang mempunyai banyak nostalgia.
“Masjid ini masih berfungsi lebih-lebih ketika solat Jumaat. Sekurang-kurangnya ia dapat menampung kehadiran jemaah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Masjid yang mempunyai kubah dan menara kuning ini dibina berkonsepkan moden. Pada bahagian pintu masuk utama, tertera angka 1929 dalam ejaan jawi dan rumi.
Mihrabnya dibuat daripada batu marmar dengan ukiran dan tulisan khas yang cukup menarik.
Seni bina masjid ini adalah moden dan berasaskan pengaruh Asia Barat. Binaannya adalah antara yang tertua di daerah Hulu Langat dan Selangor.
KIBLAT TAK TEPAT
Ahmad Kidzbullah berkata, sekitar 1990an dulu, ada usaha menggantikan masjid lama dengan bangunan baharu, berikutan isu arah kiblat.
Usaha membetulkannya perlu segera dilakukan disebabkan kedudukan saf tidak selari dengan ruang di dalam bangunan.
“Lama-kelamaan faktor inilah yang menjadi penyebab perlunya bangunan baharu dibina di atas tapak lama.
“Nazir dan ahli jawatankuasa masjid ketika itu, nekad mengambil keputusan mendirikan masjid baharu.
“Kerajaan Persekutuan (Barisan Nasional) pernah menyalurkan dana RM9.6 juta bagi mendirikan masjid baharu, namun, tergendala seketika selepas berlakunya perubahan kerajaan ketika itu,” katanya.
PENGORBANAN NENEK MOYANG
Sementara itu, penduduk lama, Nik Pa Nik Leh, 70, berkata, masjid asal dibina hasil usaha dan titik peluh nenek moyang yang menoreh getah serta melakukan kerjakerja kampung.
Semangat gotong-royong, kegigihan menyimpan duit sedikit demi sedikit dan mewakafkan harta demi kemudahan dan syiar Islam adalah pengorbanan yang tiada galang-gantinya.
“Sebab itu, masa mula-mula ada cadangan untuk merobohkan masjid lama ini ditentang oleh sebahagian penduduk kerana khazanah warisan ini perlu dipulihara sebaiknya.
“Akhirnya, masjid baharu dibina di atas tapak bersebelahan masjid lama sekaligus menjadikan tanah masjid lebih luas dan pelbagai aktiviti dapat dijalankan,” ujarnya.










