Masalah ekonomi kekang hasrat wanita miliki 4 anak

Masalah ekonomi kekang hasrat wanita miliki 4 anak

NANCY SHUKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masalah ekonomi menjadi penghalang kepada wanita di negara ini untuk memiliki sekurang-kurangnya empat orang anak bagi sebuah keluarga.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, situasi tersebut juga menyebabkan kebanyakan daripada mereka hanya mampu untuk mempunyai antara dua ke tiga orang anak sahaja.

“Tinjauan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2017 mendapati sebanyak 58 peratus pasangan ingin menambah bilangan anak sekiranya tidak mempunyai sebarang masalah berkaitan ekonomi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata, kementerian percaya keadaan ekonomi sesebuah keluarga sememangnya mempengaruhi jumlah anak mereka.

Jumaat lalu, akhbar ini melaporkan Malaysia mencatatkan kadar kelahiran terendah dalam tempoh lima dekad lalu yang akan menjadikannya negara tua lebih awal berbanding jangkaan tahun 2030.

Kadar kelahiran itu adalah penurunan secara berterusan sejak 50 tahun lalu dengan data merekodkan kadar kesuburan dalam kalangan rakyat Malaysia menurun dari­pada 6.7 kanak-kanak bagi setiap wanita pada 1957 kepada empat pada 1980, tiga pada 2000 dan 2.1 pada 2010.

Untuk tempoh sama juga, kadar kesu­buran dalam kalangan rakyat Malaysia direkodkan paling rendah de­ngan kadar purata kesu­buran 1.6 anak bagi setiap perempuan berusia 15 hingga 49 tahun pada 2022.

Dalam pada itu, Nancy berkata, pelbagai inisiatif dicadangkan hasil daripada Perbincangan Meja Bulat (RTD) semasa Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2023 (PERKKS 23) bagi menangani masalah kesuburan penduduk Malaysia.

Katanya, antara langkah yang dilakukan adalah dengan menambah baik kemudahan cuti bersalin kepada golongan ibu dan kemudahan cuti awal kelahiran anak kepada golongan bapa mengikut kesesuaian.
“Selain itu, kita juga menawarkan inisiatif dari segi pemberian wang tunai dan pengurangan cukai pembelian barangan bayi,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN