SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyatakan komitmen bersama Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) untuk mengkaji kompetensi badan perundangan negeri bagi menggubal undang-undang Islam di negeri ini.
Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof dalam kenyataannya berkata, proses tersebut akan dibuat bersama Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri yang ditubuhkan pada Ogos tahun lalu seperti dititahkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Dalam hal ini, MAIS komited untuk bersama-sama membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri dalam memberi sumbang saran dan idea.
“Ia untuk memudahkan jawatankuasa menganalisis dan mencadangkan kaedah terbaik bagi memperluaskan kompetensi badan perundangan negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan sebagaimana hasrat Sultan Selangor.
“Oleh itu, MAIS menyeru umat Islam bertenang memberi peluang kepada jawatankuasa khas yang telah dilantik untuk membincangkan isu ini secara terperinci,” katanya, hari ini.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Pengerusi MKI menjelaskan satu jawatankuasa khas ditubuhkan sejak Ogos tahun lalu bagi memperhalusi isu berkaitan kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal undang-undang Islam.
Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi DUN itu turut melibatkan penelitian terhadap isu keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Abdul Aziz dalam kenyataan sama menyambut baik titah Sultan Selangor yang menyeru semua umat Islam di negeri ini tidak menyalahgunakan agama demi kepentingan peribadi.
“MAIS menyeru agar semua umat Islam di negeri Selangor tidak menyalahgunakan agama demi kepentingan peribadi bagi mengekalkan keharmonian dan kemuafakatan dalam negara.
“MAIS juga menyeru para ilmuwan Islam untuk meraikan perbezaan pendapat serta menyelesaikan perbezaan pandangan tersebut secara ilmiah, berhemah serta memenuhi saluran yang betul.
“Perkara ini selaras dengan titah Sultan Selangor agar umat Islam di negara ini terus memperkukuhkan komitmen terhadap perpaduan dan ukhuwah yang selama ini menjadi teras kepada kemakmuran negara,” ujarnya. – UTUSAN










